suria

Pakcik pencen caj RM90 servis e-hailing dari Melaka ke KLIA, murah! Rupanya ada kisah terpendam, suara bergetar sambil bercerita

BEKERJA sebagai pemandu e-hailing bukan sekadar memperoleh pendapatan untuk meneruskan kelangsungan hidup sendiri, malah menyara keluarga terutama isteri dan anak-anak.

Namun pada masa sama, ada segelintir mereka sanggup berada di atas jalan demi mencari ketenangan, mengisi masa lapang dan membahagiakan diri sendiri.

Seorang lelaki mula tersentuh hati dengan kisah pemandu e-hailing yang menawarkan tambang di bawah harga pasaran.

Bayangkan perjalanan dari Melaka ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Selangor sejauh kira-kira 130 kilometer sepatutnya caj penghantaran boleh mencecah lebih RM200.

Bagaimanapun menurut lelaki itu, dia hanya perlu membayar RM90, jumlah yang dianggap amat berpatutan bagi perjalanan sejauh itu.

Penumpang di balai pelepasan di KLIA, Sepang. -Gambar hiasan (Bernama)

"Kereta buat hal. Nak kena outstation ke Sabah, jadi saya buat sedikit perbandingan harga naik bas dan e-hailing untuk ke KLIA dari Melaka. Tu dia, langit bumi.

"Kalau naik bas, kos dalam RM60 je termasuk e-hailing dari rumah ke Melaka Sentral. Naik satu e-hailing ni, kos RM200 ke atas, tak termasuk tol.

"Saya buka e-hailing lain dan cuba buka harga tawaran. Tiba-tiba ada seorang pemandu tawar harga RM90. Lelaki Melayu pencen. Saya terus terima," kata lelaki itu menerusi perkongsian di Facebook Zaim Zin.

Sepanjang perjalanan dari Melaka ke KLIA, Zaim berkata, dia dan pemandu tersebut berbual tentang banyak perkara.

ARTIKEL BERKAITAN: Pakcik pemandu e-hailing bagi nasihat cinta, larang main kayu tiga! - “Sekali curang pasti sukar pasangan nak percaya”

ARTIKEL BERKAITAN: Paling sayang bini! Pemandu ini dipuji terlalu ‘sweet’, guna gambar isteri buat deko dalam kereta... Skrin telefon pun ada

Pemandu lelaki berusia 60-an itu mendedahkan dia sebenarnya tinggal di Selangor namun sudah tiga hari outstation di Melaka.

"Saya bukan duduk di Melaka, saya duduk di Dengkil. Tiga hari lepas saya ada klien minta hantar ke Melaka. Lepas hantar, saya stay buat e-hailing di sini. Ni kira balik rumah la.

"Tiga hari dah berpusing di Melaka. Patut la dia okay harga tu. Tapi saya macam kagum dia boleh bebas memandu dan kerja macam tu," ujarnya yang mengimbas kembali perbualan tersebut.

Pelekat OKU di cermin kereta menimbulkan tanda tanya.

Hal itu mencetuskan tanda-tanya Zaim mengenai latar belakang pemandu berkenaan, khususnya mengenai keluarga.

Malah sepanjang perjalanan, dia turut tertanya-tanya tentang pelekat kenderaan orang kurang upaya (OKU) yang disedarinya ditampal pada cermin hadapan kereta pemandu itu.

"Tuan, mohon maaf saya bertanya. Pelekat OKU ni siapa punya? Saya tanya untuk korek cerita perjuangannya," soal Zaim.

Ini bukan sekadar e-hailing, ini e-healing untuk dia.

ZAIM ZIN

PENUMPANG

Pemandu itu kemudian mendedahkan pelekat tersebut adalah kepunyaan isterinya yang merupakan OKU, namun cerita lanjutnya ternyata mengundang sebak.

"Itu bukan saya punya, itu pelekat isteri saya. Dia baru meninggal bulan dua hari tu. Selalunya, dia yang duduk sebelah ni. Saya driver dia sepanjang dia sakit," ujarnya.

Bekerja demi meneruskan kelangsungan hidup. -Gambar hiasan

Pendedahan pemandu itu membuatkan Zaim terdiam sejenak, yang kemudian meminta maaf dan mengucapkan takziah di atas pemergian si isteri.

Menurut Zaim, pemandu itu dikurniakan empat cahaya mata, dua daripadanya sudah bekerja, manakala dua lagi menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT).

"Kemudian dia sambung kisah isteri dia berjuang sakit dalam hidup. Suaranya bergetar. Kadang-kadang seperti tertahan-tahan.

"Lebih 30 tahun mereka hidup bersama. Sekarang lelaki ini keseorangan, rumahnya cuma ada dia seorang.

"Ini bukan sekadar e-hailing, ini e-healing untuk dia. Perjuangan meneruskan hidup keseorangan, gaya lelaki pencen moden yang setia," katanya.

Menerusi ruangan komen pada hantaran sama, Zaim sekali lagi menegaskan harga tambang RM90 itu ditawarkan sendiri pemandu tersebut bagi perjalanan dari Melaka ke KLIA.

"Harga tu pakcik tu yang bagi. Dia memang cari trip nak balik Dengkil," jelasnya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain