suria

Tuah masuk ‘contest’ suka-suka, pasangan warga emas ke Berlin tonton final Euro 2024! Siap jumpa legenda England, Sol CampBell

Ibu bapa Nazatul bergambar kenangan bersama legenda England, Sol CampBell (kanan).

TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu.

Bermula dengan suka-suka menyertai pertandingan, pasangan suami isteri ini berjaya meraih hadiah utama iaitu dua keping tiket menyaksikan perlawanan akhir Euro 2024 di Berlin, Jerman.

Video memaparkan pasangan warga emas berkenaan yang dihantar ahli keluarga di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 sebelum berangkat, menjadi tular di laman TikTok.

Berkongsi cerita dengan mStar, Nazatul Izzaty Ishak berkata ibu dan bapanya, Ishak Mohamad, 60, dan Hamidah Taib, 55, pada mulanya membeli barangan di sebuah kedai alatan sukan terkenal sekitar Jun lalu.

PIX 2

Ibu dan bapa Nazatul ceria sebelum berangkat ke Berlin, pada Jumaat lalu.

"Lepas tu, adik cashier tu tanya... pakcik nak masuk contest tak? Kalau menang, dapat tiket menonton final Euro di Berlin.

"Ayah saya pun okay saja. Saya yang tolong isikan borang contest tu untuk mereka sebab saya pun ada sekali. Adik cashier tu cakap lagi... manalah tahu rezeki pakcik makcik.

"Tapi ayah dan mama tak berharap pun. Sekadar suka-suka," ujar wanita berusia 31 tahun itu.

Ujar Nazatul, kira-kira seminggu kemudian, bapanya menerima mesej dan panggilan daripada pihak penganjur memaklumkan keputusan pertandingan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Meremang tengok pemain Magribi sujud syukur, wanita ini saksi detik bersejarah depan mata! Untung jadi sukarelawan Piala Dunia 2022

ARTIKEL BERKAITAN: Hadiah umrah lebih berharga, usahawan baju Melayu murah hati taja 10 individu bertuah... Jawab dakwaan tipu bagi Nissan GTR

"Ayah pula takut kena scam, dia beritahu dalam grup WhatsApp famili. Sepupu saya check, rupanya memang betul ayah dan mama menang.

"Masa dapat tahu tu, ayah macam blur dan tak sangka... mama yang excited. Yang lucunya, ayah tak berapa tonton Euro kali ni walaupun hobinya dulu main bola, abang dan suami saya yang kaki bola.

"Tapi ayah dan mama yang dapat pergi... tengok live pula tu. Yang kaki bola pula tengok di rumah," ceritanya berseloroh.

PIX 3

Bersama ejen daripada kedai alatan sukan, Walter Lim (kanan).

Nazatul yang merupakan anak kedua daripada tiga adik-beradik berkata, ibu dan bapanya berangkat pada Jumaat lalu bersama dua pemenang lain, ditemani ejen daripada kedai alatan sukan terbabit.

"Pada mulanya ayah sedikit keberatan nak pergi sebab dia bakal jalani pembedahan lutut. Tambahan pula, ini kali pertama ayah dan mama pergi luar negara berdua, selain pergi haji.

"Kami adik beradik pun risau juga, sebab sebelum ni bercuti bersama keluarga... boleh guide mereka. Tapi pihak penganjur beri jaminan untuk jaga semua sepanjang trip, kami lega sangat.

"Alhamdulillah mereka dah selamat tiba. Ini pun mereka selalu videocall dan hantar gambar di sana... siap bergambar dengan bekas pemain Arsenal dan pertahanan England, Sol Campbell," cerita wanita ini yang menetap di Tampin, Negeri Sembilan.

Yang lucunya, ayah tak berapa tonton Euro kali ni walaupun hobinya dulu main bola.

NAZATUL IZZATY ISHAK

ANAK

Sekadar memuat naik video di TikTok untuk dijadikan kenangan, Nazatul tidak menyangka perkongsiannya menjadi tular.

"Kelakar dan terhibur apabila baca komen netizen. Ada yang kata, mereka hanya mampu tengok dekat mamak je, ada yang siap nak standby depan televisyen nak tunggu kalau-kalau wajah ayah mama keluar.

"Tapi saya terkilan sikit apabila ada yang kata... baik pergi Mekah. Bagi saya, tak patut keluarkan kata-kata macam tu kalau tak tahu cerita.

PIX 4

Bersiar-siar di sekitar bandaraya Berlin.

"Untuk makluman, ayah dan mama sudah mengerjakan haji pada 2018. Ini adalah rezeki mereka yang tak dijangka. Apapun terima kasih kepada yang beri komen positif, serta doakan ayah mama selamat pulang pada 16 Julai ini.

"Tak lupa juga, jutaan terima kasih kepada pihak penganjur atas peluang ini dan menaja sepenuhnya trip ini," akhirinya.

Untuk rekod, aksi final Euro 2024 yang menyaksikan pertembungan Sepanyol dan England akan berlangsung di Olympiastadion Berlin, Jerman, pukul 3 pagi Isnin (waktu Malaysia).

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain