LUMRAH di mana-mana kawasan kejiranan, sudah pasti ada sahaja isu berbangkit dek sikap segelintir penghuni yang mementingkan diri. Dalam satu hantaran yang tular di TikTok, seorang wanita berkongsi masalah yang dihadapi gara-gara sikap jirannya yang suka membuang air cucian daripada mesin basuh sehingga mengalir membasahi lantai di bahagian belakang rumahnya. "Kalau buang air mesin tak kacau kawasan rumah, saya ok saja. Ni anda tengoklah sendiri... depan pintu kot! "Mereka buang air ke luar sehingga mengganggu rumah aku," tulisnya. Menurut individu berkenaan yang tinggal di Pelabuhan Klang, Selangor, jiran yang menetap di tingkat atas rumahnya merupakan pasangan suami isteri. Air yang bertakung didakwa menimbulkan pelbagai masalah seperti pembiakan nyamuk, lantai berlumut dan sebagainya. Biarpun sudah beberapa kali membuat teguran, namun dakwanya pasangan berkenaan seolah-olah langsung tidak mengambil endah dan masalah yang sama tetap berlaku sehingga kini. Malah individu tersebut turut berkongsi satu kejadian yang pernah berlaku sebelum ini akibat sikap tidak bertimbang rasa jirannya itu. "Ingat lagi time raya lepas, aku jerit dari bawah sebab tak tahan dah. Aku sidai baju raya kami sekeluarga, kain telekung... mereka buang air terus basah semua kain yang aku jemur," kongsinya lagi. ARTIKEL BERKAITAN: Tegur aircond jiran bising sebab air menitik atas awning, individu huni flat dihalau duduk rumah teres ARTIKEL BERKAITAN: Baru pindah rumah, jiran sebelah reka cerita hantu! Makin toksik cari gaduh isu sisa dalam tong sampah Bukan sahaja pakaian yang dijemurnya basah, apa yang paling menjadi kebimbangannya adalah kehadiran nyamuk dek air yang dibuang bertakung di kawasan lantai dan longkang berhampiran pintu belakang rumahnya. Tambahnya, disebabkan kawasan tempat tinggalnya merupakan bangunan flat lama, justeru tiada badan pengurusan yang bertanggungjawab untuknya menyalurkan aduan. Sama dengan saya... jiran buang sampah tepi rumah sampai dua tiga hari. Sampai ada ulat-ulat sampah depan pintu. NETIZEN Enggan memanjangkan perbalahan, individu itu berkata dia mengambil pendekatan untuk 'mengalah' biarpun kecewa dengan sikap jirannya itu. "Nak sidai kain dekat luar pun tak boleh, jiran atas ni tak fikir langsung kain yang kita sidai dekat bawah ni. "Untuk masa sekarang ni terpaksalah sidai kain dalam rumah. Takkan nak pindah rumah pula," ujarnya lagi. Rata-rata netizen menzahirkan rasa simpati dengan nasib yang dialami individu berkenaan. Antara komen netizen terhadap perkongsian wanita berkenaan. Malah ada segelintir daripada mereka turut berkongsi pengalaman masing-masing yang hampir sama. "Pernah kena macam ni beberapa tahun lalu... banyak kali tegur. Last sekali aku minta nombor owner, aku call sendiri... lepas tu baru settle. "Saya pun hadapi masalah orang pasang tangki depan rumah... pam tangki tu berbunyi 24 jam. Sakit telinga. "Sama dengan saya... jiran buang sampah tepi rumah sampai dua tiga hari. Sampai ada ulat-ulat sampah depan pintu," komen netizen. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube