suria

Tak pakai baju, sembunyi dalam selimut... Dr Say tangkap ‘maid’ bawa masuk 2 lelaki - “Buat ‘projek’ sambil anak saya di tengah!”

Dr Say mendapatkan bantuan polis bagi menyerbu bilik pembantu rumahnya.

PANIK! Begitulah detik cemas yang dialami pempengaruh media sosial dan doktor selebriti, Dr Say Shazril apabila rumahnya dimasuki dua tetamu tidak diundang pada waktu malam.

Lebih mengejutkan apabila dua lelaki tidak dikenali itu dibawa masuk sendiri oleh pembantu rumahnya yang ketika itu sedang menjaga anak ketiganya di tingkat bawah kediamannya di Bangsar, Kuala Lumpur.

Kehadiran mereka ke dalam kediamannya itu pada Isnin malam dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di ruang tamu, yang dikongsikannya menerusi Insta Story di akaun Instagramnya, pada awal pagi Selasa.

Tangkap layar video CCTV di ruang tamu di kediaman Dr Say.

Berkongsi detik cemas itu kepada mStar, Dr Say berkata dia terdetik hati untuk memeriksa rakaman CCTV selepas dimaklumkan jiran mengenai dua lelaki memasuki rumahnya, namun pada mulanya menganggap perkara itu mustahil kerana dia dan isteri berada di rumah.

Menurut Dr Say atau nama sebenarnya Dr Muhammad Shazril Shaharuddin, ketika itu dua anak lelakinya berusia lima dan tiga tahun di tingkat atas, manakala anak lelaki ketiga yang berumur tujuh bulan bersama dua pembantu rumah di tingkat bawah.

"Saya tanya maid (pembantu rumah), ada ke lelaki masuk ke rumah dan mereka jawab tak ada. Saya pressure mereka, dan mereka cakap 'dah pergi'. Jadi saya ingat mungkin lelaki itu buat penghantaran dan dah pergi.

"Tapi isteri saya yang masa tu nak masuk kerja pukul 10 malam cakap, kalau maid beritahu yang lelaki tu dah pergi maksudnya lelaki tu masih ada. Saya terduduk... macam mana dia boleh fikir sampai macam tu.

"Tapi alang-alang just to be safe, saya periksa semula CCTV dan terjumpa awal-awal tu siap maid letak botol (untuk tutup pandangan CCTV) dulu. Lepas tu baru dia pusingkan CCTV ke arah TV dan nampak kelibat dua lelaki masuk (dari refleksi TV)," katanya ketika dihubungi mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Perjalanan cuma 2km, tapi Dr Say ‘bayar’ RM56 naik e-hailing... Terduduk dengar kisah pemandu tua kerja 15 jam, tumpang tidur di madrasah

ARTIKEL BERKAITAN: Dr Say tersentak isterinya yang sibuk disaran belajar masak, dah 2022 tapi ada lagi pemikiran macam tahun 1992

Lebih mencemaskan, kata Dr Say, rakaman CCTV di ruang tamu itu tidak menunjukkan sebarang tanda dua lelaki tidak dikenali itu keluar dari kediamannya.

Anggota polis mengadakan serbuan di bilik pembantu rumah Dr Say.

Jelas Dr Say, kebiasaannya anak ketiganya itu akan dijaga oleh pembantu rumah di tingkat bawah apabila isterinya. Dr Azura Abas perlu bekerja syif malam (on call) sementara dia menidurkan dua lagi anak lelakinya di tingkat atas.

"Apabila saya play back rakaman CCTV tu tak nampak dua lelaki tu keluar, saya panik. Jadi, saya minta maid untuk hantar baby ke tingkat atas, tapi maid tak jawab call.

"Saya cuak sangat sebab saya tahu akan berdepan dengan dua orang. Kedua ketiga-tiga anak saya masih kecil jadi mereka boleh ambil salah seorang anak untuk dijadikan tebusan," katanya yang membuat keputusan selamat dengan menghubungi pihak polis.

Jangan mudah percayakan sesiapa dan jangan bagi muka pada helper.

DR SAY SHAZRIL

Ketika serbuan polis dibuat di bilik di tingkat bawah, Dr Say berkata, terdapat dua lelaki bersembunyi di sebalik selimut di dua katil bersama dua pembantu rumahnya.

Sementara itu anaknya diletakkan di baby cradle (kerusi buai) di atas lantai antara kedua-dua katil.

"Kedua-dua lelaki itu dipercayai warga Bangladesh. Mereka tidak berbaju dan berselindung dalam selimut. Terus terang saya rasa gugup.

"Tergamak mereka buat 'projek' macam tu semata-mata nak puaskan nafsu sambil anak saya di tengah-tengah tu. Kalau anak saya menangis masa mereka tengah buat 'projek', mahu anak saya dipukul atau dicederakan," katanya sambil berterima kasih atas kerjasama pantas daripada tiga anggota polis.

drsaypolis

Tindakan pantas dan rasional Dr Say berjaya menyelamatkan keadaan dengan baik.

Menurut Dr Say, dua pembantu rumahnya berusia 37 dan 39 tahun masing-masing warga Indonesia dan Filipina, dan difahamkan kedua-dua lelaki warga Bangladesh itu dikenali mereka ketika keluar pada hari cuti di Kuala Lumpur.

Dia dimaklumkan ia bukan kes pecah rumah kerana kedua-dua pembantu rumahnya yang membawa mereka masuk ke kediamannya secara sukarela.

Bagaimanapun, Dr Say tetap bersyukur kerana mereka sekeluarga selamat dalam kejadian itu dan kedua-dua lelaki warga Bangladesh berkenaan bagaimanapun tidak ditahan polis, sebaliknya diberikan pengajaran sewajarnya.

Malah, kejadian yang berlaku turut memberi pengajaran kepadanya untuk sentiasa lebih berhati-hati apabila mengambil khidmat pembantu rumah.

"Jangan mudah percayakan sesiapa dan jangan bagi muka pada helper. Saya baik sangat, kadang-kadang bagi helper duit poket, seminggu sekali bagi mereka off (hari cuti) pergilah mana mereka nak.

"Saya siap bagi mereka telefon setiap masa, tak pernah maki hamun tapi ini balasan saya dapat? Saya pun terkedu," katanya kesal sambil memberitahu kedua-dua mereka sudah diambil semula oleh agensi pembantu rumah yang menguruskan mereka.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain