SETIAP anak pasti akan disayangi dan dijaga oleh ibu bapa bagai menatang minyak yang penuh. Apabila kemahuan anak tidak dapat dipenuhi, kebanyakan ibu bapa akan berasa sedih dan luluh hati. Melalui satu video tular di laman TikTok, seorang wanita dikenali sebagai Siti Fauziah, 37, atau senang disapa Gee berkongsikan kisah sedih yang menimpa anak istimewanya. Gee sentiasa mengharapkan yang terbaik untuk anaknya. Ketika dihubungi mStar, Gee berkata anaknya iaitu Haura Nur Jehan, 8, menghidap Sindrom William menyebabkan dia mengalami kesukaran untuk berkomunikasi dengan orang sekeliling. Tambahnya, Sindrom William merupakan penyakit genetik yang jarang ditemui sehingga nisbah penghidapnya adalah satu dalam 20,000 untuk seluruh dunia. "Haura bersekolah di Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Selayang, Selangor. Untuk pengetahuan semua, Haura ni memang 'hantu' ayam, itu makanan kegemarannya. ARTIKEL BERKAITAN: Kecewa markah anak rendah, hati ibu ‘berbunga’ lepas terima mesej mengejutkan! Si kecil ada sifat luar biasa di sekolah ARTIKEL BERKAITAN: Mak ayah tak ajar, harapkan sekolah semata-mata... Guru dedah ramai pelajar tak tahu solat! Risau fikir masa depan negara "Setiap kali balik sekolah, saya selalu tanya Haura makan apa waktu rehat tadi, dia cakap makan ayam goreng crispy popcorn. Saya macam gembira la Haura dapat makan apa yang dia suka. "Kalau nak tahu murid PPKI akan dapat makanan percuma daripada kantin sekolah waktu rehat, ia di bawah Rancangan Makanan Tambahan (RMT) oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menyediakan nutrisi secukupnya untuk tumbesaran. "Saya pun beranggapan program RMT ni memang ada sediakan ayam goreng, jadi bertuah la Haura. Tapi ternyata saya silap," ujar Gee yang bekerja sebagai tukang jahit. Terima kasih Ya Allah hadirkan orang baik ke dalam hidup Haura. SITI FAUZIAH Bagai satu tamparan hebat buat dirinya apabila pada suatu hari dia dimaklumkan oleh guru bahawa selama ini rakan Haura sering membayarkan makanan Haura di kantin. "Mungkin dah berlarutan terlalu lama, jadi cikgu tu pun terpaksa beritahu saya apa yang terjadi sebenarnya. Rupanya anak saya tak suka makanan yang dihidangkan oleh program RMT tu. "Setiap kali waktu rehat, Haura akan makan ayam goreng popcorn yang dibeli berasingan daripada kantin. Tapi masalahnya saya tak pernah bagi duit poket dekat Haura sebab saya ingat dia makan percuma di sekolah dengan program RMT. Elly (kiri) menjadi rakan karib dengan Haura. "Dari situ barulah saya tahu tentang pengorbanan rakannya yang dipanggil sebagai Elly. Setiap hari Elly ni akan belanja Haura RM3 untuk beli sebekas ayam goreng popcorn tu. "Haura tak ada cerita langsung dekat saya tentang perkara ni sebab seperti kita sedia maklum, dia ada masalah percakapan. Saya rasa serba salah sangat, tak sangka anak saya bergantung harap dengan orang lain untuk makan," kata Gee yang mempunyai enam cahaya mata. Tidak mahu berterusan dihantui rasa malu, Gee pantas menghubungi ibu Elly untuk memberikan penjelasan. Haura bahagia bersama adik-beradiknya. "Saya ceritakan semuanya daripada A-Z, saya minta maaf. Saya juga dah gantikan semula duit yang Elly gunakan untuk belanja Haura. Baru saya tahu yang Elly makan bekal dari rumah, duit untuk belanja Haura tu sebagai backup je mak dia bagi. "Kemudian ibu Elly bagi satu jawapan yang sungguh menyentuh hati saya. Dia cakap, tak mengapa, Elly sayang Haura. Sebak terus saya ni, gagal ke aku sebagai mak sampai tak tahu tentang keadaan semasa anak? "Mulai dari hari tu saya terus bagi duit poket untuk Haura, sekarang dia boleh beli makanan sendiri waktu rehat, tak perlu bergantung dengan Elly dah. Semoga terus dimurahkan rezeki Elly dan ibunya. "Terima kasih Ya Allah hadirkan orang baik ke dalam hidup Haura," ujar Gee bersyukur kerana kebajikan anak ketiganya itu sentiasa terpelihara. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube