suria

Mula-mula halang kereta, kemudian rebah konon dilanggar! Wanita trauma diganggu pengemis tengah KL, panik kena ‘hon berjemaah’

Pengemis itu berdiri di hadapan sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat. -Gambar hiasan

KEHADIRAN pengemis yang berkeliaran di sekitar Kuala Lumpur bukan sahaja mengganggu orang ramai, malah turut merosakkan imej negara di mata pelancong.

Pada Rabu malam, seorang wanita turut berdepan detik cemas apabila dia diganggu seorang pengemis lelaki, dipercayai warga asing, di ibu negara.

Menurut pemilik TikTok Arlin Alen, pengemis itu pada mulanya berdiri di hadapan keretanya ketika dia berhenti di persimpangan lampu isyarat.

WhatsApp Image 2024-10-11 at 10.06.50 AM

Pengemis itu merebahkan badannya selepas gagal mendapat wang daripada pemandu kereta.

Pengemis itu kemudiannya turut berbaring di atas jalan raya sehingga menghalang laluan wanita berkenaan.

"Lelaki ini datang dan meminta sedikit wang. Malangnya, saya tidak ada wang tunai. Dia berdiri di hadapan kereta saya sehingga lampu isyarat bertukar hijau.

"Saya tekan hon. Tiba-tiba dia rebah. Berpura-pura kononnya saya yang langgar dia. Saya hanya duduk dalam kereta kerana tidak tahu apa yang perlu dilakukan," ujar wanita itu.

Kesan daripada kejadian ni saya dah tak mahu lalu Jalan Bukit Bintang.

ARLIN ALEN

Menurut Arlin, lelaki itu akhirnya bangun dan berlalu pergi selepas ditegur oleh seorang penunggang motosikal.

"Dengan perbuatan itu, dia cuba meyakinkan orang sekeliling tapi tiada siapa yang percaya. Terima kasih kepada abang motor yang membantu," ceritanya lagi.

Dalam perkongsian sama, Arlin berkata kejadian itu membuatkan dia trauma sehingga terpaksa menggunakan laluan alternatif lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengemis wanita ‘ditangkap’ pandu Honda CRV! Bagi alasan jaga 2 warga emas, rumah di kawasan elit KL jadi tanda tanya

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki berjubah hidup senang dengan mengemis, kantoi pandu Proton X70 Flagship... 5 jam tadah tangan dapat RM500!

Malah katanya, dia tidak pasti sekiranya lelaki tersebut betul-betul seorang pengemis atau individu yang mengalami masalah mental kerana ini merupakan kejadian pertama yang dialaminya.

"Kesan daripada kejadian ni saya dah tak mahu lalu Jalan Bukit Bintang, saya sanggup ikut Jalan Sultan Ismail atau Jalan P.Ramlee tu. Jauh pun jauhlah, risau.

"Benda ni terjadi sewaktu dalam perjalanan ke Pavilion untuk private event dekat sana. Panik bila kena hon 'berjemaah' semalam tau.

"Tak tahu nak kata. Orang ni pengemis ke atau mental yang tu saya kurang pasti, sebab selama bertahun lalu Jalan Bukit Bintang tak pernah pula nampak dia ni. Jujur kita takut," ujarnya.

WhatsApp Image 2024-10-11 at 10.06.17 AM

Netizen luah rasa bimbang ekoran kehadiran ramai pengemis warga asing di ibu kota.

Video yang dikongsi wanita itu menerima lebih 80,000 tontonan di aplikasi TikTok sehingga dihujani pelbagai komen netizen.

"Dashcam sekarang adalah keperluan yang setiap kereta wajib ada.

"Sis laporkan pada polis. Seramlah kalau tiba-tiba dia kacau orang lain juga.

"Takutnya yang dia buat-buat jatuh tu.

"Banyak sangat warga asing, mereka buat macam negara sendiri," tulis netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain