suria

Selalu datang gerai, ‘uncle’ cuma ambil kaki ayam 2 ketul... Lepas ‘siasat’ peniaga tambah lauk sampai tutup nasi, siap pulangkan RM2

Kelibat seorang pelanggan berjaya menarik perhatian pemilik sebuah gerai di Melaka. -Gambar hiasan

MAKANAN berlauk menjadi pilihan sebahagian besar rakyat Malaysia terutama pada waktu makan tengah hari.

Ketika tengah lapar boleh rambang mata tatkala melihat pelbagai jenis makanan disajikan, ada bermacam-macam jenis sehingga segelintir daripada kita terbeli lebih daripada sepatutnya.

Namun berbeza dengan seorang pelanggan lelaki di sebuah gerai ini yang dikatakan sering mengambil lauk yang sangat sedikit hingga ia disedari peniaga.

Beraneka jenis lauk yang dijual di gerai.

Mencetuskan tanda-tanya, peniaga gerai berkenaan akhirnya cuba mendekati pelanggan terbabit yang sering datang membeli lauk ke gerainya di Masjid Tanah, Melaka.

"Akhirnya dapat 'tangkap' uncle ni. Dia selalu beli di kedai saya. Kira pelanggan tetap juga la.

"Dah lama saya perhatikan uncle ni. Kalau ambil lauk, sikit sangat. Tapi saya selalu tak serve dia, jadi tadi saya yang serve dia.

"Die suruh kira, nasi bersama kaki ayam dua ketul, itu je. Saya malas cakap banyak, saya saje je cakap RM5. Terus dia terkapai-kapai cari duit," kata peniaga itu menerusi satu hantaran di Facebook.

ARTIKEL BERKAITAN: Selalu singgah cedok lauk tapi tak bayar... Ada sebab peniaga ini halalkan makanan minum - “Sehari pakcik tak datang, rasa berdosa”

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki mulut celupar, perlekeh tauke gerai sedekah air kordial... Peniaga terus ‘sound’, beritahu kos bancuh boleh bayar ansuran Axia!

Bercerita lanjut, katanya pelanggan lelaki itu kemudian mengakui dia hanya mempunyai wang yang sekadar 'cukup-cukup makan'.

"Dia cakap cuma ada RM2 saja. Saya pun cakap... bagi sini RM2 tu uncle, boleh je," ujarnya yang cuba memahami keadaan pelanggan berusia itu.

Pelanggan rambang mata memilih pelbagai jenis lauk. -Gambar hiasan

Menurutnya, dia kemudian memanggil pelanggan berkenaan dan membawanya ke hujung gerai bagi mengelakkan perbualan mereka didengari orang lain.

"Saya pun bawa dia ke tepi hujung gerai. Saya tengok keadaan dia macam sedang buat kerja berat. Jadi, saya tambah nasi untuk dia.

"Saya juga tambah lagi beberapa lauk sampai tak nampak nasi. Saya terus masuk plastik kasi kat dia dan pulangkan RM2 tadi," kata peniaga itu tanpa mendedahkan sumber rezeki pelanggan tersebut.

Terima kasih support gerai saya... dengan pembelian anda saya dapat bantu orang yang memerlukan.

PENIAGA MAKANAN

Tindakannya itu menggembirakan pelanggan berkenaan yang berulang kali mengucapkan terima kasih sebelum mendedahkan perkara sebenar.

"Dia suka dan banyak kali cakap terima kasih. Dia cakap belum gaji lagi, duit dah tak berapa nak ada.

"Saya pun bebel lagi... uncle, lain kali jangan macam ini. Uncle kerja berat, makan kena banyak, makan kena sedap. Baru bertenaga buat kerja.

Kisah seorang 'uncle' menjadi perhatian. -Gambar hiasan

"Tak apa uncle, kalau betul uncle tak cukup duit, boleh beritahu sama saya atau pekerja saya, kami bagi. Yang penting uncle jangan lapar," tambahnya.

Kata-kata peniaga itu mengundang sebak pelanggan lelaki tersebut yang terharu dengan layanan diberikan.

Pada masa sama, dia turut berterima kasih kepada semua pelanggan yang datang ke gerainya sehingga membolehkan dia membantu individu kurang bernasib baik.

"Terus merah mata uncle tu... saya sempat peluk dia. Terima kasih kepada anda semua yang support gerai saya ye. Dengan pembelian anda, saya dapat bantu orang yang memerlukan," katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain