SELAIN perselisihan antara suami dan isteri, kita juga sering mendengar kisah-kisah pertelingkahan antara menantu dan mentua serta ipar duai.
Banyak punca atau faktor yang membawa kepada terjadinya masalah ini yang mana ia banyak dikongsi di media sosial.
Bagi mengelakkan isu ini terus berlaku dalam keluarga, seorang pengguna Facebook menasihati mereka yang berpangkat abang atau kakak untuk tidak mencampuri urusan adik-adik yang sudah berkahwin.
Jangan sesekali mengarah adik beradik yang sudah berkahwin. -Gambar hiasan
"Kalau kita adalah kakak atau pun abang, jangan sesekali masih nak mengarahkan adik-adik kita yang dah berkeluarga ni untuk ikut telunjuk kita. Itu tak kena, ini tak kena. Hormatilah dia yang telah punya suami atau isteri.
"Bila adik beradik kita dah berumahtangga, jangan kita 'jaja' kekurangan atau salah silap ipar-ipar kita kepada adik beradik lain atau kepada mak ayah.
"Jangan jadikan kekurangan dan kesilapan itu sebagai buah modal untuk kita bercerita beramai-ramai sesama yang lain kerana itu akan menimbulkan rasa benci, tak suka kepada seseorang," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Pedih telinga dapat mentua mulut lancang, tak habis-habis hina saiz badan... Menantu sarat hamil pun jadi modal gurau kasar!
ARTIKEL BERKAITAN: Sengsara dapat mentua mulut celupar kaki sindir, bandingkan cucu... Suami pula dilabel anak tak guna gara-gara pertahan isteri
Selain itu, dia juga meminta ibu bapa termasuk mentua untuk tidak sesekali menjaja kekurangan anak-anak atau melebih-lebihkan menantu tertentu kepada anak-anak atau menantu yang lain.
"Jangan dibandingkan begitu, begini. Simpanlah sebaik-baiknya dan serapat-rapatnya. Kalau betul-betul rasa tak betul, rasa tak selesa, rasa terkecil hati, cukuplah bercakap dengan empunya diri sahaja.
"Kemudian, jangan diharap untuk perubahan itu dibuat sekelip mata kerana tak semua perkara mampu diubah dengan sekelip mata," jelasnya.
Luahan seorang netizen yang terpaksa mengasingkan diri dari keluarga.
Tambahnya, perbezaan sikap menantu atau ipar semestinya wujud disebabkan masing-masing dibesarkan dalam persekitaran, keluarga dan situasi yang berbeza.
Maka sudah pasti corak kehidupan juga berbeza.
Dia terpanggil untuk memberikan pendapatnya selepas berkongsi status seorang wanita yang bergelar isteri yang memilih untuk mengasingkan diri daripada ibu bapa, adik beradik serta mentuanya.
"Tak mudah untuk seseorang anak mengasingkan diri daripada ibu ayah sendiri dan tak mudah untuk adik beradik mengasingkan diri daripada adik beradiknya sendiri.
"Betapa besar terasa hati dan kekecewaannya yang ditanggung sehingga terpaksa mengasingkan dirinya walau kepada darah dagingnya sendiri," katanya.
Jangan jadikan kekurangan dan kesilapan sebagai buah modal untuk bercerita beramai-ramai kerana itu akan menimbulkan rasa benci.
WARGA MAYA
Jelas individu itu lagi, penting untuk setiap individu sentiasa menjaga silaturahim dalam keluarga dan amalan ini haruslah bermula ketika masing-masing menerima ahli keluarga yang baharu.
"Kalau dari awal lagi kita sebagai mentua dan ipar sudah melayan orang baru dengan menegur tak bertempat, perli memerli, mengumpat, maka perkara ini yang akan mula menapak menjadi kudis di dalam hati menantu, ipar, adik beradik, ataupun anak-anak.
"Yang terbaik, bersifat terbuka dan berlapang dada dalam menerima orang baru ke dalam keluarga dan sebagai adik beradik, terimalah hakikat yang adik beradik kita telah berkahwin dan berubah statusnya," katanya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube