suria

Tertonggeng-tonggeng berjalan dengan selipar di tangan... Murid OKU ini teringin miliki tongkat beroda sendiri, mudah nak ke sekolah

Muhammad Shairid memerlukan bantuan tongkat beroda bagi memudahkan pergerakan.

KEADAAN fizikal yang berbeza dengan orang lain tidak membataskan kanak-kanak ini untuk ke sekolah.

Walaupun terpaksa berjalan menggunakan empat anggota badan serentak dengan dua tangan disarungkan selipar bagi memudahkan pergerakan, semangatnya tetap utuh.

Bagi ibunya, Siti Azah Mohd Jinal, dia gembira melihat keceriaan yang jelas terpancar di wajah anak bongsu daripada lima beradik itu.

Wanita itu mengakui ramai mahu menawarkan bantuan kepada anaknya Muhammad Shairid Hadif Ridhuan Shah, 5, yang dilahirkan tanpa lutut dan betis sejak lahir, selepas video hari pertama memasuki prasekolah pada Isnin lalu meraih perhatian.

Muhammad Shairid meraih perhatian di hari pertama sesi persekolahan.

"Mereka terkesan tengok video pakai selipar dekat tangan. Sebenarnya Shairid memang jalan guna kaki dan tangannya apabila berada di rumah.

"Jika keluar rumah, sama ada saya dukung atau letakkan dia dalam stroller (kereta sorong bayi).

"Tapi dia lebih selesa berjalan sendiri dan sebab itulah dia pakai selipar di tangannya," katanya ketika dihubungi mStar.

Azah yang merupakan ibu tunggal memberitahu, dia menghantar anaknya yang menghidap sindrom caudal regression (CRS) itu ke sekolah sehingga ke kelas setiap hari.

ARTIKEL BERKAITAN: Tangan pakai selipar, ramai sayu tengok semangat murid OKU ke sekolah! Ibu tak kisah apa kata orang, mahu anak berdikari

ARTIKEL BERKAITAN: “Maaf tiada duit kecil” - Ibu pedih dapat mesej cikgu, permintaan pinjam duit untuk anak beli makanan di kantin tak dilayan

"Walaupun saya pantau anak termasuk ketika berada di rumah, saya bersyukur sebab dia mula belajar berdikari.

"Dia kata dia suka berjalan, dan dia tak pernah mengadu. Cuma saya ada pesan kalau kawan-kawan terpijak atau terlanggar, jangan marah dan dia faham," ujarnya yang menetap di Felda Bukit Easter di Kota Tinggi, Johor.

Selesa menggunakan tongkat beroda untuk berjalan.

Namun bagi memudahkan pergerakan anaknya itu, dia berharap untuk mendapatkan bantuan berupa tongkat beroda.

"Pihak hospital ada syorkan untuk guna tongkat beroda, tapi yang ada di pasaran sekarang dilengkapi dengan tempat duduk. Tempat duduk tu jadi halangan untuk Shairid bergerak sebab dia lasak.

"Ketinggian Shairid ketika berdiri hanya 70 sentimeter (cm). Daripada kepala hingga paras pinggang, dia macam kanak-kanak tapi pinggang ke bawah, dia seperti bayi.

"Masa dia cuba guna tongkat beroda kat hospital pun terpaksa jengket kaki," katanya sambil menambah sedang menunggu kelulusan permohonan bagi mendapat bantuan alat berkenaan.

Doakan urusan kami sekeluarga dipermudahkan terutama untuk dapatkan tongkat beroda buat Shairid.

SITI AZAH MOHD JINAL 

IBU

Susulan itu juga, baru-baru ini dia menerima panggilan daripada seorang pengusaha bengkel motosikal berdekatan dengan tempat tinggalnya yang mahu membantunya dari segi bantuan berupa tongkat beroda.

"Dia beritahu nak bantu untuk custom made tongkat beroda yang sesuai dengan ketinggian Shairid. Sebenarnya ramai yang tawarkan bantuan, tapi saya tengok yang satu ini dulu," jelasnya.

Azah berdoa agar urusan keluarganya terutama anak bongsu, Muhammad Shairid dipermudah.

Mencari rezeki dengan menjual kuih secara kecil-kecilan bagi membesarkan lima anak, Azah memaklumkan dia turut menerima bantuan kewangan untuk anak B40 daripada pihak kerajaan.

"Sehari saya berniaga dapatlah hasil jualan sehingga RM50 belum tolak modal. Kalau jual, ada la duit. Kalau sakit dan tak buat kuih, tak ada la.

"Terima kasih kepada semua yang mahu membantu. Doakan urusan kami sekeluarga dipermudahkan terutama untuk dapatkan tongkat beroda buat Shairid bagi memudahkan pergerakannya," katanya lagi.

Pada Isnin, mStar melaporkan kisah Shairid begitu bersemangat di hari pertama persekolahan pada Isnin meskipun berstatus orang kurang upaya (OKU).

Azah memaklumkan anak bongsunya itu memang dilatih untuk hidup lebih berdikari kerana mahu anaknya itu berada dalam persekitaran normal bersama kanak-kanak normal lain.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain