suria

Hud Aryan ‘tersembunyi’ di satu tempat, tak jauh dari rumah… Bapa pegang kata-kata ustaz, terus ikhtiar cari sampai jumpa

Hud Aryan dilaporkan hilang sejak petang Isnin. -Foto media sosial

MEMASUKI hari ketiga kehilangan Hud Aryan Mohd Nor Hafifi, bapa kanak-kanak tersebut menaruh harapan yang tinggi agar anak tunggalnya yang berusia satu tahun tujuh bulan ditemukan dalam keadaan yang selamat.

Mohd Nor Hafifi, 33, berkata, dia dan keluarga turut melakukan solat sunat hajat agar usaha pencarian Hud dipermudahkan.

"Masuk hari ini (Khamis), masih belum ada perkembangan. Pihak bomba dan polis meneruskan lagi operasi pencarian bersama penduduk kampung.

"Saya difahamkan, pencarian diteruskan di lokasi yang sama tapi kawasannya diperluaskan. Saya pun akan turut serta.

Hud Aryan merupakan anak tunggal Mohd Nor Hafifi dan isterinya, Azean Nur Atikah. 

"Selain pencarian oleh pihak berkuasa, kami sekeluarga pun ikhtiar dengan buat solat hajat. Saya juga nak ucap terima kasih sebab ada beberapa orang Ustaz datang berjumpa, dan mereka pun bantu buat solat hajat," katanya ketika dihubungi mStar pada Rabu.

Ujarnya, sejak malam Hud dilaporkan hilang, rumahnya dikunjungi oleh pengamal perubatan Islam yang meluahkan hasrat untuk cuba membantu mengesan anaknya.

ARTIKEL BERKAITAN: Lupa tutup pintu jeriji, bapa cerita kronologi sebelum Hud Aryan hilang... Dekat rumah mentua ada anak sungai

ARTIKEL BERKAITAN: Budak 19 bulan hilang waktu Maghrib, ‘ghaib’ selepas ibu selesai suap makan - “Baliklah Hud”

"Ada Ustaz beritahu, anak saya barada di satu tempat tapi tak jauh dari kawasan rumah. Apabila dengar kata-kata tersebut, saya harap ada sinar anak saya ditemukan," katanya.

Mengakui hatinya tidak mampu untuk bertenang mengenangkan masih belum ada khabar berita tentang keadaan anak kecilnya, Mohd Nor Hafifi berkata dia terpaksa menguatkan semangat demi isteri, Azean Nur Atikah. 

Apabila dengar kata-kata tersebut, saya harap ada sinar anak saya ditemukan

MOHD NOR HAFIFI

BAPA

"Kedaan isteri saya, dia agak okey sedikit... agak tenang daripada hari mula-mula Hud hilang. Saya kena kuat. 

"Dalam pada itu, saya mohon doa daripada semua agar anak saya, Hud, dapat ditemukan segera dalam keadaan yang selamat.

"Saya dan keluarga nak ucap terima kasih kepada mereka yang prihatin dan tak putus-putus mendoakan serta beri kata-kata semangat kepada kami," akhirinya.

Terdahulu, mStar melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 19 bulan, hilang ketika berada di rumah neneknya di Kampung Aira, Kuala Tiga, Tanah Merah dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam, Isnin.

Operasi pencarian Hud Aryan yang kini memasuki hari ketiga.

Operasi pencarian kini giat dilakukan oleh pihak bomba dan polis selain turut disertai orang kampung.

Pada Selasa, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Mohd Zulkifli Osman berkata, Hud Aryan berkemungkinan terjatuh ke dalam parit berhampiran rumah neneknya.

Pihaknya juga tidak menolak kemungkinan kanak-kanak berkenaan memasuki kawasan hutan di sekitar rumah.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain

Suami Kiah Propa meninggal dunia