suria

Dugaan Ramadan... Peniaga kuih raya ditimpa musibah, kereta hangus dijilat api - “Terkejut tiba-tiba bonet berasap”

Kelihatan Hamidi berusaha menyelamatkan beberapa barang niaganya.

SEORANG peniaga kecil-kecilan berdepan detik cemas apabila kereta yang dipandunya tiba-tiba terbakar dalam satu kejadian di Kampung Jayor dekat Pagoh, Johor, pada Sabtu.

Ketika dihubungi mStar, mangsa, Nor Hamidi Noor, 57, berkongsi pengalaman menakutkan ketika dia dalam perjalanan mengambil stok kuih raya dari Parit Sulong ke Segamat sekitar pukul 6 petang.

Menaiki kenderaan jenis Honda CR-V, Hamidi berkata ketika kejadian dia bersama seorang anak saudara yang turut membantunya berniaga kuih raya sempena bulan Ramadan.

"Saya tengah memandu dengan kelajuan lebih kurang 60 kilometer sejam, terkejut tiba-tiba nampak asap keluar dari bonet. Terus saya berhenti di tepi jalan. Tak sampai 10 minit, api dah mula marak.

Hamidi merupakan seorang peniaga yang menetap di Segamat.

"Berniaga kuih raya adalah sumber pendapatan saya setiap tahun. Kalau bukan bulan puasa, saya jual apam balik dan jagung di pasar malam Segamat," jelasnya yang tinggal bersendirian di Kampung Jalan Temenggong, Segamat.

Tambah Hamidi kejadian itu berlaku terlalu pantas dan dia hanya sempat menyelamatkan beberapa barang jualan dan telefon bimbit sebelum api merebak.

Walaupun sempat membawa keluar beberapa kuih tradisional seperti bahulu, rempeyek dan dodol, Hamidi tetap mengalami kerugian besar kerana kehilangan kenderaan yang digunakannya sejak 10 tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kereta terbabas sebelum terbakar sepenuhnya... Pemandu maut, rakan cedera

ARTIKEL BERKAITAN: Tak sangka kertas boleh jadi punca kereta terbakar! Dah boleh buang tabiat suka tinggal resit, dokumen dalam kenderaan

"Anak saudara saya cuba membantu, tetapi api sudah marak. Orang awam juga turut cuba memadamkan kebakaran menggunakan alat pemadam api, tapi tak berjaya," katanya.

Hamidi memaklumkan bahawa kereta terpakai itu dibelinya pada harga RM16,000 dan merupakan satu-satunya kenderaan miliknya.

Kini dia terpaksa meminjam kenderaan daripada saudara-mara untuk bergerak dan melakukan sebarang urusan buat sementara waktu.

Bapa kepada seorang anak itu menjelaskan bahawa keretanya sentiasa diselenggara secara berkala dan tidak pernah menunjukkan tanda-tanda kerosakan sebelum ini.

Orang awam juga turut cuba memadamkan kebakaran menggunakan alat pemadam api, tapi tak berjaya.

NOR HAMIDI

"Saya selalu menukar minyak hitam setiap empat bulan sekali. Sebelum kejadian, saya sempat tengok temperature (suhu enjin) dan ia berada dalam keadaan normal.

"Tapi mungkin terdapat kebocoran pada bahagian minyak power steering dan api menyambar bahagian wiring (pendawaian) yang menyebabkan kebakaran," katanya.

Terdahulu insiden berkenaan mengundang simpati ramai apabila sebuah video merakamkan detik-detik Hamidi cuba menyelamatkan barang niaganya tular hingga meraih lebih 1.4 juta tontonan di TikTok.

Susulan kejadian itu, orang ramai melancarkan kutipan dana bagi membantu meringankan beban Hamidi yang disalurkan terus ke akaun bank miliknya.

Keadaan kereta Hamidi selepas kebakaran.

Sehingga laporan ini ditulis, difahamkan Hamidi masih belum ke Balai Polis Muar untuk membuat laporan berhubung kejadian tersebut.

"Saya terharu apabila ramai yang sudi membantu selepas saya ditimpa musibah. Saya juga menerima beberapa mesej daripada individu yang memberikan sumbangan kepada saya.

"Namun, buat masa ini, saya belum dapat nyatakan jumlah kutipan yang diterima kerana saya tidak mempunyai online banking untuk menyemaknya.

"Saya hanya bergantung kepada perniagaan saja sebagai sumber pendapatan. Saya anggap ini sebagai satu dugaan di bulan Ramadan. Saya berharap ada rezeki lain selepas ini," katanya dengan nada reda.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain