suria

Aidilfitri tak lengkap tanpa lemang, tart nanas… ‘Orang kuat’ dapur kedutaan ini sudah 9 tahun beraya di perantauan

Menyediakan sajian sempena Aidilfitri merupakan tanggungjawab Cef Safura yang bertugas di Kedutaan Malaysia di Tokyo.

BERGELAR Cef Duta Malaysia sejak 2016 di pelbagai negara, pengalaman meraikan Aidilfitri di perantaun sememangnya menghadiahkan momen unik dan penuh makna buat Siti Safura Mohd Tawil.

Meraikan lebaran buat kali ketiga di Jepun, Siti Safura yang kini bertugas di Tokyo berkata, suasana hari raya di negara matahari terbit ini tetap meriah biarpun ia bukanlah negara majoriti Islam.

Sama seperti di Malaysia, alunan takbir raya tetap bergema pada pagi 1 Syawal selain tradisi penganjuran rumah terbuka di Kedutaan Malaysia bagi meraikan anak perantau serta komuniti setempat.

Cef Safura bersama Duta Malaysia, Datuk Shahril Effendi Abd Ghany dan keluarga.

"Sebagai cef di kedutaan, saya bertanggungjawab memastikan semua persiapan makanan disediakan mengikut perancangan dan garis panduan yang dibincangkan pihak kedutaan dan perwakilan Tokyo.

"Tugas saya bukan sahaja merancang menu yang sesuai untuk majlis rasmi dan rumah terbuka, tetapi juga memastikan setiap hidangan disediakan dengan kualiti terbaik, mengekalkan citarasa autentik masakan Malaysia, serta memenuhi keperluan diet dan kehalalan makanan.

"Selain itu, saya turut menguruskan penyediaan bahan mentah, koordinasi dengan pasukan dapur, serta memastikan hidangan siap tepat pada masanya untuk dinikmati para tetamu," kongsi Siti Safura kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Nasi ulam bunga telang dihiasi ‘seaweed’ pikat selera juri... Cef Safura juara pertandingan memasak di Jepun!

Bercerita mengenai rutin lazim pada pagi raya, Siti Safura berkata dia turut tidak ketinggalan menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama warga kedutaan, sebelum bersama-sama menikmati juadah raya yang disediakan.

"Hidangan wajib yang mesti ada di sini benar-benar sama seperti di Malaysia. Antaranya nasi minyak, rendang, lemang, ketupat, sate, serta pelbagai jenis kuih raya seperti tart nenas dan kuih semperit.

Walaupun tidak dapat bersama secara fizikal, teknologi menjadi penghubung yang mengubat kerinduan.

SITI SAFURA MOHD TAWIL

"Suasana menjadi lebih meriah dengan kehadiran warga Malaysia yang berpakaian tradisional seperti baju Melayu dan baju kurung, sesi bertukar-tukar juadah, serta alunan lagu raya yang menggamit kenangan di tanah air.

"Pada hari raya kedua, sambutan menjadi lebih meriah dengan rumah terbuka Kedutaan Malaysia di Tokyo, yang dihadiri rakyat Malaysia di Jepun, termasuk pelajar dan komuniti yang menetap di sini.

"Inilah waktu yang dinanti-nantikan untuk berkumpul, berkenalan, dan mengeratkan silaturahim sesama rakyat Malaysia di perantauan," ujar anak kelahiran Ranau, Sabah ini.

Berkumpul bersama komuniti Malaysia di Jepun adalah tradisi tahunan setiap kali Aidilfitri.

Menggayakan baju raya yang ditempah lebih awal dari Malaysia, Siti Safura mengakui meskipun suasana raya di luar negara tetap meriah, namun dia tetap rindu momen untuk berada bersama keluarga tersayang di samping menikmati juadah air tangan ibu.

"Walaupun jauh di mata, tetapi tetap dekat di hati. Pada pagi raya, kebiasaannya kami akan saling bermaafan, bertanya khabar, dan berkongsi cerita melalui WhatsApp atau panggilan video bersama keluarga di Malaysia.

"Momen ini sangat bermakna kerana dapat melihat wajah orang tersayang, mendengar gelak tawa mereka, serta merasakan kemeriahan raya walaupun berada di kejauhan.

"Walaupun tidak dapat bersama secara fizikal, teknologi menjadi penghubung yang mengubat kerinduan," kongsinya lagi.

Sembilan tahun bergelar cef duta, Siti Safura berkata terlalu banyak kenangan manis sepanjang meraikan Ramadan serta beraya di perantauan.

"Ketika Ramadan, majlis berbuka puasa, solat tarawih, dan moreh turut diadakan bersama warga Kedutaan Malaysia. 

"Berada jauh dari tanah air mengajar saya untuk lebih menghargai setiap momen, daripada berbuka puasa bersama rakan-rakan sehinggalah merayakan Syawal dengan komuniti Muslim di sini.

"Peluang merasai Hari Raya di perantauan juga memberikan makna yang mendalam, kerana ia menjadi waktu untuk bermuhasabah serta memberi perspektif berbeza tentang cara kita menghargai perayaan serta mengajar erti kesyukuran dan kebersamaan dalam komuniti yang jauh dari tanah air," akhirinya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain