KERIANGAN menyambut Aidilfitri bertukar pilu apabila seorang wanita mendapati kucing kesayangannya 'pergi' dalam keadaan menyayat hati.
Menerusi satu hantaran di akaun TikTok @uyaaa, kejadian berkenaan berlaku ketika kucing yang diberi nama Uteh itu dikatakan sedang berehat di bawah salah sebuah kenderaan milik tetamu yang datang beraya ke rumahnya.
"Pagi raya itu semua orang sibuk sambut tetamu, jadi banyak kereta parkir depan rumah. Sebab ramai sangat tetamu (dalam rumah), Uteh jadi rimas dan ia duduk luar.
Wanita itu berkongsi kisah tersebut menerusi hantaran di TikTok.
"Mula-mula duduk tepi rumah, tidak tahu pula kemudian ia pergi duduk bawah kereta.
"Dalam banyak-banyak kereta, Uteh duduk bawah kereta yang dah nak gerak. Kami pun memang tak perasan langsung," ujarnya.
Dalam perkongsian yang sama, wanita itu turut berkongsi foto memaparkan keadaan kucing berbulu putih itu ditanam sambil masih memakai baju raya berwarna biru yang dijahit khas buatnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Tragis, kucing kesayangan meronta sebelum dimakan harimau! Pemilik risau lepas ni orang kampung pula kena baham
ARTIKEL BERKAITAN: Perjalanan akhir kucing kesayangan... Wanita cuba suap makanan kegemaran tapi tiada respons - “Badan Lilo sudah keras”
Enggan menyalahkan sesiapa, wanita itu yakin tetamu berkenaan juga tidak menyedari keberadaan kucing peliharaannya itu di bawah keretanya.
"Yang gilis itu pun tak perasan. Tahu-tahu ada orang panggil, cakap kucing kena langgar.
"Kami keluar rumah, tengok Uteh sudah mati dengan kepala berkecai," jelasnya.
Hantaran yang meraih 2.2 juta jumlah tontonan itu mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya bersimpati terhadap wanita berkenaan.
Malah ramai yang menasihati pemilik kucing untuk meletakkan haiwan peliharaan mereka di dalam sangkar sebagai langkah keselamatan.
"Kerana tetamu, satu nyawa terkorban.
"Amalkan untuk periksa bawah kereta sebelum balik daripada beraya rumah orang. Tak pasal-pasal kucing jadi mangsa.
"Jadikan pengajaran untuk letakkan kucing dalam sangkar masa musim perayaan, biar dia tak bebas asalkan dia selamat," komen netizen.