SELAIN meraikan kemenangan selepas sebulan berpuasa, Aidilfitri juga menjadi medan penyatuan dan mengeratkan kembali hubungan yang lama terpisah.
Terkini, seorang pengguna TikTok dikenali sebagai Nadiah M Din berkongsi momen penuh emosi ketika dia membuat kejutan istimewa buat pembantu rumahnya yang dikenali sebagai Mala.
Menurut Nadiah, kejutan tersebut dirancang rapi sejak empat bulan lalu demi merealisasikan impian Mala untuk bertemu kembali dengan keluarganya yang berada di Indonesia.
Nadiah menceritakan kronologi kejutan dibuat di TikTok.
“Tetamu yang datang hari ini merupakan ibu Mala dan dua orang anaknya. Saya berjaya uruskan pasport dan visa mereka. Saya sudah rancang semua ini empat bulan lalu,” tulis Nadiah memulakan cerita.
Dalam video yang dirakam pada Rabu, 3 Syawal lalu, kelihatan Mala tidak dapat menahan air mata saat melihat wajah anak-anak dan ibunya yang datang dari Indonesia.
Menurut Nadiah, kejutan itu tercetus selepas dia secara tidak sengaja terdengar perbualan telefon antara Mala dan anak perempuannya, Zarah beberapa bulan lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: Bertuah betul 2 bibik... terkejut terima telefon baharu, rupa-rupanya bonus gelang emas pun pernah dapat – “Tuhan bagi kesenangan bukan untuk kita rasa seorang”
ARTIKEL BERKAITAN: Buat kejutan ‘rare’, pemuda ganti duit raya dengan syiling emas... Banyak manfaat, aset jangka panjang
“Lima bulan lalu saya terdengar anak perempuan dia cakap rindu sama mama dia. Dia tanya boleh tak kalau bersatu macam dulu.
"Zarah rindu masakan mama,” kongsi Nadiah mengimbas kembali perbualan telefon antara dua beranak itu.
Tambah Nadiah bagi menjayakan misi kejutan, dia berpura-pura memberitahu Mala bahawa mereka akan menerima tetamu dari Perancis yang tinggal di Indonesia dan gemarkan masakan negara kelahirannya itu.
Ini adalah penerbangan pertama anak-anaknya, jadi bayangkanlah betapa terujanya mereka.
NADIAH
Mala diminta menyediakan masak lemak lodeh dan sambal balado untuk 'tetamu' tersebut, tanpa sedikit pun mengetahui hal yang sebenar.
“Bibik saya dipertemukan semula dengan dua anak dan ibunya untuk raya kali ini. Ini adalah penerbangan pertama anak-anaknya, jadi bayangkanlah betapa terujanya mereka!” tulis Nadiah lagi dalam kapsyen video.
Dalam klip video berkenaan, jelas terpancar kegembiraan dan tangisan penuh rindu apabila Mala memeluk erat anak-anak dan ibunya selepas sekian lama terpisah demi mencari rezeki.
Difahamkan, keluarga Mala akan berada bersama mereka selama 12 hari bagi merayakan Aidilfitri.
Komen netizen di TikTok.
Perkongsian tersebut bukan sahaja meruntun hati netizen, malah turut mendapat pujian atas keprihatinan Nadiah sebagai seorang majikan.
"Kenapa kau terlalu baik Nadiah. Moga dengan ini, perjalanan ke syurga dipermudahkan insya-Allah.
"Penatlah raya tahun ni, asyik nangis je. Padahal tengok video je. Terima kasih orang baik," komen beberapa netizen.
Untuk makluman, Nadiah yang merupakan seorang pelakon dan pengacara dari Singapura pernah tular kerana banyak membuat kandungan mengenai perkahwinannya bersama lelaki warga Perancis.