suria

Bas Nice Imperial Tawar Perjalanan Kelas Pertama

PETALING JAYA: Perjalanan begitu selesa dengan kerusi yang empuk, mesin urut, kemudahan Internet WiFi 4G malah seorang pelayan akan memberi khidmat kepada 27 penumpang.

Dikenali sebagai Nice Imperial, bas ini menawarkan perkhimdtan bas ekspres kelas pertama dari Kuala Lumpur-Pulau Pinang atau Kuala Lumpur-Singapura-Kuala Lumpur.

"Apa yang membuatkan bas ini berbeza adalah setiap seorang duduk di kerusi yang berasingan dengan penumpang lain, jadi anda tidak akan melihat kepala penumpang lain di hadapan anda apabila kerusi itu dibaringkan, kata Pengarah Eksekutif Konsortium Transnasional Berhad (KTB), Tengku Hasmadi Tengku Hashim.

Bas dua tingkat Nice Imperial dilancarkan oleh KTB pada pertengahan Mac.

Tengku Hasmadi berkata, para penumpang juga boleh menempah kerusi yang boleh menempatkan mereka pada sudut 45 darjah menghala tingkat sekiranya mereka mahu melihat pemandangan di sepanjang perjalanan.

"Setiap penumpang juga boleh bermain menggunakan tablet Android dan melayari lebih 50 filem dan 200 lagu," tambahnya.

Tengku Hasmadi turut berkata para pemandu bas Nice Imperial adalah yang berpengalaman dengan mempunyai trek rekod yang baik.

Sambil menambah bahawa Nice Imperial merupakan model kelas Perdana yang pertama di negara ini, beliau berkata, setakat ini, kebanyakan bas dengan gaya selesa adalah sama dari segi konsep pengangkutan kelas perniagaan.

"Kita merasakan kita perlu berada dalam kategori yang lain. Kita mempunyai ahli yang sering mengembara menggunakan bas ekskutif Nice dan mereka sekarang boleh mendapatkan khidmat yang lebih baik," katanya.

Tengku Hasmadi berkata, KTB mengendalikan empat bas Nice Imperial, dengan 16 buah lagi dirancang akan beroperasi dalam tempoh setahun.

Pada masa ini, Nice Imperial menyediakan khidmat perjalanan bagi laluan KL-Singapura, Singapura-KL, Kuala Lumpur-Pulau Pinang dan Pulau Pinang-Kuala Lumpur.

Tambang sehala dari Kuala Lumpur ke Singapura dan Pulau Pinang, masing-masing RM141 dan RM103.

Tiket boleh dibeli secara dalam talian 60 hari lebih awal dari tempoh perjalanan, termasuk perjalanan pergi dan balik, serta pakej penginapan hotel.

Mereka yang mempunyai kad keahlian Nice akan menikmati diskaun, mengumpul mata dan menebusnya untuk tiket yang akan datang.

Penumpang bagi perjalanan ke Singapura boleh menaiki bas Nice Imperial di stesen kereta api Keretapi Tanah Melayu (KTM) Kuala Lumpur, KL Sentral dan Terminal Bersepadu Selatan.

Mereka yang menghala ke Pulau Pinang boleh menaiki bas dari Terminal Bersepadu Selatan dan stesen kereta api KTM.

Artikel Lain