KOTA BAHARU: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) memperluas kawasan ladang kontrak di Kelantan kepada 200 hektar tahun ini berbanding 120 hektar tahun lepas. Pengarah Fama Wilayah Timur 1, Mohd Ariffin Awang berkata usaha itu dilakukan setelah melihat sambutan baik para petani untuk menyertai program berkenaan. Beliau berkata sebanyak 27 peserta telah menandatangani perjanjian untuk menyertai projek ladang kontrak yang melibatkan kawasan penanaman seluas 58 hektar dan dianggarkan akan menghasilkan 400 tan metrik tembikai wangi mulai April ini. Majlis menandatangani perjanjian jual-beli hasil ladang kontrak dilakukan di sini, Isnin. Seorang peserta Mohd Noor Mansur, 54, berkata beliau berpuas hati dengan perjanjian itu memandangkan Fama telah banyak membantu memasarkan produk tani yang dihasilkannya. "Saya tak perlu lagi nak fikir ke mana harus dipasarkan buah-buahan ini sebab Fama akan beli 100 peratus hasilnya," katanya. Mengenai Pesta Orkid dan Flora yang berlangsung selama 10 hari bermula 20 Mac lalu di Pusat Transformasi Luar Bandar Kelantan di Tunjong di sini, Mohd Ariffin berkata nilai jualan yang dicapai adalah sebanyak RM5.2 juta dengan jumlah pengunjung kira-kira 300,000 orang. "Kita berjaya melepasi sasaran dan kita akan perbanyakkan lagi program seperti ini yang boleh memberi keuntungan kepada masyarakat negeri ini," katanya.