ABU DHABI: Sebagai penjana ekonomi, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dilihat semakin relevan bagi menampung pertumbuhan populasi warganya yang semakin meningkat. Dalam perutusan 2014, Pengarah Besar Felda Datuk Faizoull Ahmad berkata, menerusi pelan transformasi agensi itu, menjana ekonomi merupakan agenda yang diberi perhatian melalui pendekatan konkrit. Justeru itu, Felda dilihat terus meneroka peluang lebih luas dalam aktiviti bukan ladang. Penubuhan unit baharu yang dikenali sebagai 'Enterprises International Business Unit' (EIBU) akan menjadi pemangkin bagi membuka peluang kepada pengusaha Felda untuk mengeksport produk keluaran Felda ke luar negara. Satu usaha kecil EIBU yang diletakkan di bawah seliaan Timbalan Pengarah Besar, Servis Korporat Felda, sudah mula membuahkan hasil yang besar. Pengusaha Felda boleh tersenyum lebar atas usaha EIBU memasarkan produk keluaran mereka ke Timur Tengah dengan pendedahan kepada ratusan pembeli sehari. Melalui kerjasama dengan Lulu Group International, pemilik 20 Lulu Hypermarket di Emiriah Arab Bersatu (UAE), membolehkan Felda menjual produk jenama Felda Best di pasar raya tersebut. Sehingga kini, terdapat 21,705 pengusaha Felda yang terdiri daripada kalangan peneroka terlibat dalam tujuh kategori projek - tanaman, ternakan, akuakultur, perniagaan, perusahaan, kraf dan perkhidmatan. Nilai jualan usahawan Felda ini meningkat setiap tahun. Sepanjang empat bulan tahun ini, angkanya sudah mencecah RM604,415 berbanding RM1.757 juta pada 2013, RM1.591 juta pada 2012 dan RM1.336 juta pada 2011. Bercakap kepada Bernama, Timbalan Pengarah Besar, Servis Korporat, Hanapi Suhada, berkata di peringkat awal tujuh produk makanan sejuk beku jenama Felda Best sudah mula dijual di Lulu Hypermarket mulai bulan ini. "Penghantaran pertama sebanyak satu kontena telah dilakukan dan akan berterusan setiap dua bulan. Kita juga menyasarkan untuk menghantar 14 kontena sepanjang tahun hadapan," katanya. Produk yang dihantar terdiri daripada Aloo Curry Puff, Tapioca Cake, Aloo Fried Bun, Red Bean Fried Bun, Sweet Potato Cake, Sambal Fried Bun dan Donut. Produk sejuk beku itu dihasilkan oleh peneroka di sekitar Kota Tinggi, Johor. Beliau berkata, selain produk sejuk beku, buah-buahanan tempatan juga bakal dipasarkan ke UAE melalui Lulu Hypermarket, termasuk pisang Cavendish, Tembikai Golden (Melon), Nanas MD2 dan nangka. Pada peringkat awal, Hanapi berkata, produk sejuk beku Felda Best hanya akan dipasarkan ke 20 rangkaian pasar raya besar di sekitar UAE sahaja. Berpangkalan di UAE, Lulu Group mempunyai 109 pasar raya di sembilan negara dengan purata 600,000 pembeli sehari. "Pasaran besar sudah tersedia. Cabarannya kini bagaimana pengusaha Felda mahu memenuhi permintaan sebesar itu," katanya. Selain di eksport ke Timur Tengah, produk Felda Best akan turut dipasarkan di 10 Lulu Hypermarket di Malaysia mulai 2016. Felda dijangka membina bangunan mengikut spesifikasi yang dipersetujui bersama, dan Lulu akan menyewanya dalam tempoh 15 tahun. Beberapa lokasi telah dicadangkan iaitu di Kota Bahru, Kelantan; Bukit Katil, Melaka; Ipoh, Perak; Nilai dan Felda Raja Alias, Negeri Sembilan; Shah Alam dan Kelana Jaya, Selangor; dan Jalan Semarak, Kuala Lumpur. Felda juga sedang mengenal pasti lokasi lain yang strategik di sekitar kawasan Lembah Klang, Terengganu, Johor, dan Pulau Pinang. Satu memorandum persefahaman antara Felda dan Lulu Group International bagi membuka 10 pasar raya besar di Malaysia bakal dimeterai Isnin dengan disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad. Ia akan dimeterai oleh Faizoull dan Pengarah Urusan Lulu Group, Yusuffali M.A. Penubuhan 10 pasar raya besar Lulu di Malaysia bukan sahaja dilihat dapat memberi manfaat kepada pengusaha Felda, malah peluang pekerjaan juga dapat ditawarkan kepada warga Felda selain memberi pendapatan kepada Felda dalam bentuk sewaan bangunan dalam jangka panjang.