TANGKAK: Lebih RM8 bilion cukai yang sepatutnya dijelaskan peniaga, pembekal dan pengilang setiap tahun dapat dikutip dengan pelaksanaan sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) April tahun depan. Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Hamim Samuri turut yakin pelbagai taktik yang diguna untuk mengelak daripada membayar cukai selama ini tidak lagi berkesan dengan penguatkuasaan GST. Katanya, melalui GST kerajaan dapat mengatasi kelemahan pungutan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dengan menghapuskan cukai bertindih, berganda dan cukai bertingkat yang menjadi punca harga sesetengah barangan menjadi lebih mahal daripada sepatutnya. "Melalui GST, jika mereka cuba mengelak membayar cukai, perbuatan mereka pasti akan dapat dikesan," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Parit Ponorogo, Jalan Muar di sini, Ahad. Sehubungan itu, Hamim yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata, rakyat tidak perlu bimbang dengan pelaksanaan sistem GST tersebut kerana cukai berkenaan adalah untuk menjaga kepentingan mereka. Hamim turut menolak andaian sesetengah pihak bahawa GST akan menyebabkan kenaikan harga barang. Pada masa ini katanya, kerajaan menghadapi cabaran yang besar dalam memberi penjelasan kepada rakyat ekoran tindakan pembangkang yang mengelirukan mereka berhubung sistem GST. Bagaimanapun usaha sedang dijalankan bagi menangani persepsi buruk yang ditabur oleh pembangkang untuk menghasut rakyat supaya membantah pelaksanaan sistem percukaian tersebut. "GST merupakan sistem percukaian terbaik dan ini jelas berdasarkan kepada kajian terhadap 140 negara di dunia yang telah melaksanakannya sejak sekian lama," katanya. Beliau juga meminta rakyat tidak terkeliru dengan dakwaan pembangkang kerana bukan semua barangan dan perkhidmatan dikenakan cukai itu antaranya buku, ubat-ubatan dan syarikat yang mencatatkan pendapatan tahunan kurang daripada RM500,000. Pelaksanaan GST berkadar enam peratus diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2014 pada Oktober tahun lalu. GST akan menggantikan SST yang pada masa ini berkadar keseluruhan 16 peratus.