suria

Gelombang Ke-2 Dasar Pandang Ke Timur Tingkatkan Ekonomi Negara - PM

Najib menyampaikan ucaptama bertajuk "Rising Asia - Messages for the Next 20 Years" pada Persidangan Antarabangsa Nikkei ke-20 di sini, Khamid.
TOKYO: Langkah Malaysia untuk mengukuhkan gelombang kedua Dasar Pandang ke Timur, yang memberi tumpuan kepada teknologi tinggi dan pekerja berkemahiran tinggi akan membantu ekonomi meningkatkan rantaian nilai dan seterusnya kepada status berpendapatan tinggi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Bukan sahaja Dasar Pandang Timur diteruskan di bawah kepimpinan saya, tetapi juga selaras dengan program transformasi untuk Malaysia. Reputasi Jepun bagi kepimpinan ekonomi sudah terkenal dan juga diperakui," katanya.

Pada awal 1980-an, di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Malaysia memulakan dasar 'Pandang ke Timur', beralih ke Jepun dan Korea sebagai inspirasi, membantu untuk melatih generasi akan datang pelajar Malaysia dan pemimpin perniagaan dengan cara Asia Timur.

"Keadaan berbeza ketika itu. Asia sedang meningkat, tetapi pertumbuhan pesat sebenar masih belum berlaku," kata Najib dalam ucap tama di Persidangan Antarabangsa Nikkei ke-20 mengenai Masa Depan Asia, "Kebangkitan Asia: Mesej Untuk 20 Tahun Akan Datang" yang diadakan di sini, Khamis.

Persidangan itu dianjurkan oleh kumpulan media antarabangsa, Nikkei Inc, Jepun. 

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Nikkei Inc, Tsuneo Kita.

Ini merupakan penampilan kedua Najib sebagai penceramah utama di persidangan Nikkei. Kali pertama pada Persidangan Nikkei ke-17 pada 2011.

"Kemunculan ekonomi 'Harimau', dan pembaharuan di China, menunjukkan kepada dunia bahawa ada sesuatu sedang berlaku di Asia. Pada tahun 1980-an lah frasa 'Abad Asia' dicipta. Tetapi bagi ramai pemerhati, Asia masih 'satu cerita untuk esok'," katanya.

Bagaimanapun, Najib dengan segera menjelaskan 'esok itu telah tiba'.

Dari segi ekonomi dan politik, Asia kini menjadi pusat hal ehwal dunia. Rantau yang paling ramai penduduk ini juga merupakan satu daripada rantau yang paling dinamik.

Perdana Menteri menekankan bahawa pembangunan ekonomi yang cemerlang telah menyebabkan dunia memberi tumpuan terhadap prospek Asia.

"Apabila krisis kewangan baru-baru ini menjejaskan keyakinan dalam pasaran kukuh, lebih banyak syarikat dan negara mula 'memandang ke Timur'.

Peningkatan kesedaran momentum ekonomi juga telah menimbulkan kepentingan geopolitik, memandangkan kuasa baru muncul dan kuasa mantap bersaing untuk pengaruh di Asia.

"Trend ini tidak menunjukkan tanda untuk reda. Dalam tempoh 20 tahun, Asia telah bersedia untuk menguasai lebih daripada 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar global, dan 60 peratus daripada kelas pertengahan dunia," katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, fasa pertumbuhan ini akan disertai oleh kedudukan, pengaruh dan minat global yang semakin bertambah dan Asia perlu bersedia menghadapi cabaran itu.

"Ekonomi Asia akan kekal menjadi tumpuan, dan dinamik dalaman kita dalam pemerhatian. Zaman pengasingan Asia tidak akan berulang. Kita adalah satu daripada pusat baharu graviti di dunia pelbagai polar yang baharu," kata Najib.

Terdahulu dalam ucapan pembukaan Najib berkata, di bawah kepimpinan Perdana Menteri Shinzo Abe, ekonomi Jepun telah kembali pulih dan kini kelihatan bersedia untuk melalui tempoh pertumbuhan mampan, dengan itu menetapkan satu standard baru bagi pembaharuan.


Artikel Lain