suria

Gromutual Laksana Projek Pembangunan RM376.2 Juta

Austin 18 antara projek pembangunan yang dilaksanakan Gromutual Bhd.
JOHOR BAHARU: Gromutual Bhd melaksanakan pembangunan projek kediaman dan komersil dengan nilai pembangunan kasar RM376.2 juta.

Selain Johor, pemaju hartanah yang berpangkalan di Johor itu juga membangunkan projek hartanah di Melaka, kata syarikat itu dalam satu kenyataan di sini, Isnin.

Timbalan Pengarah Urusannya Chew Kwee Hiok berkata, secara keseluruhan, pasaran hartanah agak mencabar tahun ini memandangkan kekurangan tenaga kerja serta bank mengenakan peraturan gadai janji yang lebih ketat.

Bagaimanapun, syarikat itu memperakui bahawa permintaan masih kukuh untuk hartanah mampu milik dan kos pertengahan di lokasi terpilih.

Beliau berkata, bagi memenuhi permintaan itu, syarikat berkenaan melancarkan tiga projek pada separuh pertama tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014, yang meliputi pembangunan kediaman dan komersil di kedua-dua negeri.

"Kami akan terus memantau rentak pengguna dan lebih selektif dalam memperkenal program pembangunan pada masa depan," kata Chew.

Walaupun unjuran hartanah yang agak sukar, kadar pembelian pembangunan 'Austin 18' di Iskandar Malaysia, sangat menggalakkan dengan 50 peratus habis dijual setakat ini.

"Kerja bangunan disasarkan pada Jun tahun ini. Kami yakin konsep segar dan moden serta mampu milik akan terus menarik pembeli," katanya.

Pembangunan 'Austin 18' menawarkan 319 unit perniagaan dalam kawasan Mount Austin di Johor Baharu.

Artikel Lain