suria

Kota Batik Tawar Diskaun 20 Peratus

KUALA TERENGGANU: Kota Batik yang menghimpunkan 18 pengusaha batik di Kompleks Usahawan Terengganu (KUT) yang baru dibuka di Manir menawarkan harga lebih murah sehingga 20 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri Roslee Daud berkata ini berikutan kesemua 18 pengusaha di Kota Batik itu adalah pemilik kilang pembuatan batik tempatan.

"Kota Batik dijenamakan dengan konsep 'factory outlet' selaras hasrat kerajaan negeri yang mahu ia menjadi destinasi beli-belah dalam kalangan pelancong dari dalam dan luar negara.

"Kita mahu Kota Batik ini dikenali sebagai pusat jualan batik, songket dan sutera berkualiti tinggi dengan harga lebih murah seterusnya, ikon pelancongan terbaru di Terengganu, khusus buat peminat tekstil itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Jualan sempena pembukaan KUT yang mempunyai 77 unit lot niaga selama tujuh hari bermula semalam di Kubang Jela, Manir, di sini, Isnin.

Selain Kota Batik, kompleks tiga tingkat itu turut dilengkapi Pasar ICT yang menempatkan pengusaha produk gajet telekomunikasi, restoran, kedai buku, produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan medan selera.


Kota Batik, terengganu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain