MELBOURNE: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed dan rakan sejawatannya dari Australia, Andrew Robb mempengerusikan bersama rundingan dua hala di sini, Rabu, berkaitan usaha memajukan perdagangan dan pelaburan bersama. Bercakap kepada kira-kira 200 pemimpin korporat dan profesional, menteri- menteri itu menggariskan kepentingan hubungan perdagangan kedua-dua negara, mencerminkan pertumbuhan kukuh dalam perdagangan dan pelaburan dua hala sejak tiga tahun lepas. Malaysia merupakan rakan dagang Australia kesembilan terbesar. Perdagangan dua hala dalam barang dan perkhidmatan bernilai A$17.9 bilion pada 2013, mewakili peningkatan 14.7 peratus sejak 2010. Australia berada di kedudukan ketiga bagi Malaysia sebagai destinasi pelaburan, dengan pelaburan bernilai A$16.7 bilion pada 2013, meningkat 76 peratus daripada A$9.5 bilion pada 2010. Gabungan pelaburan dua hala Australia-Malaysia lebih berganda dalam tempoh tiga tahun dengan nilai A$26 bilion pada 2013. Dalam satu kenyataan bersama, menteri-menteri itu berkata, mereka mengkaji peluang yang timbul daripada Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Australia (Mafta) yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2013. Perniagaan, pelabur dan pengguna telah mendapat manfaat daripada pengurangan dan penghapusan tarif, dan juga daripada peningkatan akses kepada pembekal perkhidmatan. Mafta juga membolehkan kerjasama teknikal yang lebih luas antara kedua-dua negara di pelbagai sektor termasuk automotif, pelancongan dan e-dagang. Program kerjasama dalam sektor automotif meliputi penggunaan teknologi, pembangunan kaedah ujian, pemodelan dan modal insan. "Ini akan terus memberi manfaat kepada sektor automotif Malaysia dan Australia serta meningkatkan kerjasama mereka, termasuk dengan komuniti penyelidikan," kata mereka. Menteri-menteri itu bersetuju dengan agenda bersama untuk terus meningkatkan liberalisasi perkhidmatan dan mempelbagaikan pelaburan dalam sektor-sektor baharu. Kedua-dua pihak mengakui keperluan untuk menilai hasil semasa inisiatif liberalisasi dalam membuat keputusan untuk meneruskan agenda di samping mengambil kira aspek pembangunan dan pembinaan kapasiti. Mustapa dan Robb bersetuju mengenai pentingnya memajukan dan memuktamadkan perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), yang akan menyumbangkan lagi liberalisasi pasaran serta hubungan perdagangan dan pelaburan yang lebih kukuh. Menteri-menteri itu juga menyatakan bahawa mereka akan bekerja bersama-sama untuk menggunakan perjanjian perdagangan bebas sedia ada untuk memuktamadkan perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP). Robb mengalu-alukan peranan Malaysia dalam mempengerusikan Asean dan EAS pada 2015, dan menyatakan Australia berharap untuk bekerja dengan Malaysia bagi memajukan integrasi ekonomi serantau. Rundingan yang diadakan di Melbourne itu, merupakan mesyuarat dwitahunan Jawatankuasa Perdagangan Bersama ke-17 antara Australia dan Malaysia. Mustapa, alumni University of Melbourne, membawa bersama delegasi peringkat tinggi pemimpin perniagaan Malaysia serta pegawai penggalakkan perdagangan dan pelaburan.