GEORGE TOWN: Bank Simpanan Nasional (BSN) menerusi Skim Galakan Simpanan Pelajar (SGSP) berjaya menarik 42,717 pelajar di seluruh Pulau Pinang dengan merekodkan simpanan sebanyak RM30 juta setakat September ini. Naib Presiden Kanan dan Ketua Kewangan BSN Frederick Siew berkata skim yang diperkenalkan sejak 1982 berkonsep pertandingan itu terbuka kepada sekolah rendah dan menengah. "Setakat ini ia melibatkan penyertaan 308 sekolah di negeri ini dan kami melihat pertumbuhan memberangsangkan setiap tahun sejak skim ini diperkenalkan," katanya kepada pemberita ketika menghadiri Karnival Sekolah BSN di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chong Cheng di sini, Ahad. Katanya dalam tempoh berkenaan juga Kelab Penabung Muda (KPM) untuk mereka yang berumur tujuh sehingga 18 tahun telah merekodkan simpanan berjumlah RM14 juta melibatkan 14,808 pelajar dari 399 sekolah. "SGSP dan KPM ini adalah platform terbaik untuk anak-anak menyimpan wang kerana ia bukan sahaja memberi pulangan dalam bentuk dividen malah perlindungan insurans dan hadiah pertandingan lumayan," katanya. Dalam pada itu, Siew berkata Karnival Sekolah BSN yang melibatkan penajaan berjumlah RM780,000 untuk 78 sekolah terpilih di seluruh negara itu bermatlamat membantu pihak sekolah mengumpul dana melalui jualan amal dan aktiviti. Katanya sebanyak enam sekolah di Pulau Pinang mengambil bahagian tahun ini dan BSN menyasar 100 peratus pelajar dari sekolah terlibat menyertai kedua-dua skim berkenaan bagi membantu mencapai sasaran sejuta penyertaan di seluruh negara menjelang hujung tahun ini.