suria

Jualan Mega Mampu Rancakkan Aliran Tunai, Kukuh Ekonomi - Hasan Malek

KUALA LUMPUR: Kekerapan jualan mega dilihat mampu merancakkan aliran tunai, sekaligus mengukuhkan ekonomi negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hasan Malek berkata, peniaga dalam industri peruncitan dan pasaraya besar perlu menawarkan harga murah bagi menarik pengguna untuk berbelanja.

"KPDNKK menggalakkan peniaga membuat penurunan harga atau jualan mega, ia akan menarik lebih banyak pembeli dalam kalangan masyarakat tempatan dan juga pelancong asing," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Selasa.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perutusan khasnya hari ini, iaitu kerajaan akan meningkatkan kekerapan dan memanjangkan tempoh operasi jualan mega di seluruh negara dan mempergiatkan promosi pembelian barangan buatan Malaysia.

Hasan menyifatkan langkah kerajaan itu efektif dalam memastikan industri runcit dan pasaraya besar terus berkembang dan mencatat pertumbuhan menggalakkan.

Sehubungan itu Hasan berkata, KPDNKK turut merancang beberapa pendekatan yang sejajar dengan hasrat kerajaan itu termasuk melipatgandakan kempen penurunan harga, kempen barangan buatan Malaysia dan kempen jualan murah.

Beliau turut mengingatkan peniaga untuk menghantar notis kepada KPDNKK bagi mendapatkan permit untuk mengadakan jualan murah dan mengelak dikenakan tindakan oleh KPDNKK.

"Penghantaran notis itu perlu kerana KPDNKK ingin melihat apakah barangan yang hendak diturunkan, berapa harga asal dan sebanyak mana harga yang diturunkan, ia bagi memastikan pengguna tidak tertipu dan hak mereka terus dijaga," katanya.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain