MUMBAI: Syarikat kenderaan terbesar India, Tata Motors Ltd, akan kembali dalam pasaran Malaysia tidak lama lagi, kata Ketua Perniagaan Antarabangsa (Kenderaan Komersil), R.T Wasan. Tata menganggap Malaysia sebagai pasaran penting dalam Asean selepas Indonesia dan Thailand, katanya. Wasan berkata syarikat itu berhasrat menceburi segmen kenderaan komersil kerana ia berpotensi untuk berkembang dan merevolusikan industri pengangkutan di Malaysia. "Kami akan memperkenal beberapa model tidak lama lagi dan menawarkan rangkaian penuh produk kami dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang," katanya semasa kunjungan suai kenal media ke kilang Tata yang terletak di Pune, Maharashtra, India, baru-baru ini. Beliau berkata industri kenderaan di Malaysia sangat menarik dan mempunyai masa depan, sambil menambah kadar penawaran produk Tata dijangka lebih cepat berbanding di negara lain yang telah disertai Tata Motor. "Bagi permulaan, Tata akan memperkenal model lori dan lori pikap. "Selepas itu, kita akan melihat bagaimana jenama dan produk kita berkembang," katanya. Tata Motors pernah berada dalam pasaran Malaysia sebelum ini, namun pada ketika itu syarikat tersebut mempunyai skop yang terhad dari segi rangkaian produk serta peluang. Bagaimanapun, syarikat itu kemudian mencatatkan kemajuan besar dalam tempoh lapan hingga 10 tahun dengan menjana produk baharu seperti lori pikap, Xenon, yang setanding dengan model yang sama di dunia. Xenon berjaya memasuki pasaran yang maju seperti Australia. Wasan berkata jenama dan pengetahuan mengenai produk Tata Motors sudah ketahui memandangkan syarikat itu sudah bertapak di Malaysia sebelum ini. "Model yang kami jual di negara Asean dan India sesuai untuk keadaan jalan di Malaysia serta mempunyai sinergi semula jadi yang baik," katanya. Mengenai reka bentuk dan gaya, beliau berkata ia bukan sesuatu yang penting kepada syarikat pada masa lepas kerana pengguna hanya mahukan kenderaan asas, namun kini sudah berubah. Pada masa kini, kesemua kenderaan baharu adalah setanding dari aspek gaya dan reka bentuk dengan yang terbaik dalam kelas yang sama seperti model Xenon, katanya. "Kini, kami mempunyai rangkaian kenderaan yang dibangunkan hasil kajian pembangunan dan penyelidikan. Jadi, kami berada pada kedudukan yang kukuh untuk memasuki mana-mana pasaran yang maju termasuk Malaysia," katanya. Sementara itu, kerjasama Tata Motors dengan DRB-Hicom Commercial Vehicles Sdn Bhd (DHCV) dijangka akan memudahkan kemasukan semula produknya di Malaysia. Pada 9 September 2013, DHCV memeterai perjanjian dengan Tata Motors untuk menjadi pengedar eksklusif kenderaan komersil Tata Motors serta mengembangkan perniagaan pemasangan dan rangkaian pengedaran syarikat itu di Malaysia. "Kerjasama dengan pakar tempatan, DRB-Hicom akan membentuk perkongsian yang baik. Kami merupakan nilai yang tinggi dan mahu kerjasama ini bertahan lama," kata Wasan.