suria

Habib Jewels Sasar Peningkatan Jualan 20 Peratus Di Kuantan

Yusof Chan bersama barang kemas keluaran Habib Jewel.

KUANTAN: Habib Jewels Sdn Bhd, syarikat barang kemas terkenal tempatan menyasarkan peningkatan jualan sebanyak 20 peratus daripada RM8 juta nilai jualannya pada tahun lepas di cawangan pusat beli belah East Coast Mall, di sini.

Pengurus cawangannya Yusof Chan berkata, pihaknya menjangka nilai jualan pada tahun ini mampu mencecah sehingga RM10 juta berikutan sambutan menggalakkan daripada pelanggan yang bukan sahaja dari Pahang tetapi juga dari Terengganu dan Kelantan.

"Pada tahun lepas, kita berjaya mencatat nilai jualan melebihi sasaran yang ditetapkan dengan jumlah melebihi RM8 juta dan walaupun dalam keadaan ekonomi tidak menentu kini, kita masih yakin dapat melonjakkan nilai jualan sehingga RM10 juta tahun ini," katanya di sini, Khamis.

Katanya, sebanyak 60 peratus perolehan jualan itu dicatatkan daripada nilai jualan emas, manakala selebihnya hasil jualan berlian.

Menurut Yusof, sempena ulang tahun pertama cawangan ke-32 Habib Jewels itu di pusat beli belah tersebut, syarikat akan mengadakan promosi istimewa selama tiga hari bermula esok sehingga Ahad ini, dengan pelbagai tawaran istimewa.

Katanya ia termasuk potongan harga sehingga 70 peratus bagi barang kemas terpilih, selain kadar tukar beli untuk emas lama dan berlian dengan harga tinggi.

"Kita menawarkan diskaun RM8 hingga RM15 untuk koleksi emas 916 dan 999 terpilih selain hadiah percuma jam tangan jenama Ice Watch bernilai RM699 dengan pembelian barang kemas bernilai RM5,000 ke atas," katanya.

Selain, itu pelanggan yang menjual emas mereka melebihi nilai RM8,000 untuk memperoleh wang tunai juga berpeluang mendapat hadiah percuma tersebut.

Yusof berkata, untuk tempoh promosi selama tiga hari itu, pihaknya menjangka mampu meraih perolehan jualan melebihi RM400,000 berdasarkan kecenderungan penduduk di Pantai Timur yang gemar membeli emas.

"Habib turut menyediakan jongkong emas 999.9 beraneka saiz untuk tujuan pelaburan di samping koleksi Oro Italia 916 yang cukup dikenali dengan rekaan dan kualiti terbaik dari Itali.

"Ia menampilkan gaya Eropah bagi mereka yang gemar rekaan klasik asli dan kita turut menawarkan koleksi emas berlian dan batu permata Aura serta Hearts on Fire," katanya. 

Katanya berdasarkan harga emas di pasaran, sekarang adalah waktu terbaik untuk membeli emas khususnya bagi mereka yang ingin menjadikannya sebagai satu bentuk pelaburan jangka masa panjang.


Habib Jewel, Kuantan, Yusof Chan

Artikel Lain