suria

Sunway Hotels And Resorts, AirAsia BIG Jalin Kerjasama

KUALA LUMPUR: Sunway Hotels and Resorts menjalin kerjasama dengan AirAsia BIG bagi membolehkan ahli Program Kesetiaan AirAsia BIG meraih mata ganjaran lumayan apabila membuat tempahan penginapan hotel itu di Malaysia, Kemboja serta Vietnam.

Dalam satu kenyataan Khamis, Sunway Hotels berkata ahli AirAsia BIG kini boleh memperolehi mata ganjaran bagi setiap RM1 atau US$1 yang dibelanjakan untuk kelayakan minimum penginapan dua malam menerusi tempahan yang dibuat secara dalam talian di www.sunwayhotels.com.

Ketua Pegawai Eksekutif/ Pengurus Besar Kumpulannya, Albert Cheong, berkata kerjasama itu akan membawa manfaat besar terhadap portfolio hotel itu selain membolehkan syarikat berkenaan menawarkan ganjaran tambahan kepada pelanggan serta komuniti pengembara.

"Menerusi lebih 14 juta ahli AirAsia BIG di serata dunia, sudah pasti kerjasama ini akan membolehkan Sunway Hotels  and  Resorts menjangkau pasaran lebih luas," katanya.

Mata ganjaran BIG itu diperolehi berdasarkan kadar bayaran bilik terbaik yang ada atau kadar bilik sedia ada dengan kemudahan sarapan pagi.-- Bernama