KUALA LUMPUR: Kansai Paint Asia Pacific Sdn Bhd menyasarkan perkembangan perniagaannya di Asia Pasifik antara 20 dan 30 peratus menjelang 2016 dengan memanfaatkan jejak sedia ada syarikat dalam pasaran salutan hiasan di rantau itu. Tahun lepas, operasi Kansai Paint menyumbang 16 peratus kepada jualan keseluruhan kumpulan berjumlah RM1.7 bilion manakala tahun ini kumpulan menyasarkan perolehan sekitar RM370 juta, katanya dalam satu kenyataan, Jumaat. Ketua Pegawai Eksekutifnya Yoshikazu Takahashi berkata Malaysia merupakan pasaran yang penting bagi Kansai Paint di rantau ini kerana penduduknya yang bertambah selain prospek pertumbuhan ekonomi jangka panjang. "Kami percaya pasaran salutan hiasan akan terus berkembang di Malaysia seiring dengan pertumbuhan populasi dan pengembangan industri," katanya. Beliau berkata kumpulan itu berhasrat memperkenalkan lebih banyak produk unik dengan tumpuan kepada produk yang bersih dan mesra kesihatan serta alam sekitar termasuk cat antibakteria dan antinyamuk. -- Bernama