suria

Usahawan Malaysia Cipta Nama Di Gulfood Dubai 2016

KUALA LUMPUR: Pembeli di Dubai Gulfood Exhibition 2016 yang baru berakhir menunjukkan minat tinggi untuk barangan makanan negara ini dengan tiga usahawan Malaysia memeterai Memorandum Perjanjian dengan syarikat di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Shahid Abu Bakar, Konsul (Pertanian), Konsul Besar Malaysia pejabat Bahagian Pertanian di Dubai berkata pembeli asing berminat dengan barangan Malaysia kerana permintaan makanan bersijil halal yang semakin meningkat. 

"Di samping itu kami juga menawarkan barangan baru serta berinovatif dengan pembungkusan yang menarik," kata beliau dalam satu kenyataan akhbar yang dihantar ke Bernama di sini, Jumaat. 

Pameran Gulfood adalah acara tahunan yang diadakan di Dubai World Trade Centre. Untuk tahun ini, ia diadakan dari 21 hingga 25 Februari.

Menurut Shahid, untuk Gulfood tahun ini, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) diwakili oleh empat syarikat. 

"Kami berharap untuk tahun akan datang, Matrade akan memberi lebih banyak gerai untuk MOA bagi membolehkan penyertaan lebih ramai usahawan yang berjaya," tambahnya. 

Usahawan MOA Gulfood 2016 dipimpin Datuk Nazipah Jamaludin, Pengarah Kanan Fama Bahagian Pemasaran Eksport secara kerjasama dengan Konsul Besar pejabat Bahagian Pertanian Malaysia di Dubai yang diketuai oleh Shahid.

MEMORANDUM PERJANJIAN

"Ini satu permulaan yang baik untuk syarikat-syarikat ini dan sudah tentu akan meningkatkan eksport Malaysia ke Asia Barat pada masa hadapan," kata Shahid. 

Tiga syarikat Malaysia yang menandatangani MoA itu ialah Royal Bird's Nest Sdn Bhd Malaysia, Al Mamzar Prestige Sdn Bhd dan Taharah Group Sdn Bhd. 

MoA yang ditandatangani Royal Bird's Nest adalah dengan Dubai Total Support Holding Group, syarikat di bawah naungan Yang Mulia Sheikh Nahyan Bin Hamdan. 

Barangan Royal Bird's Nest terkenal sebagai satu daripada hidangan tradisional di peringkat antarabangsa terutama di China.

Al Mamzar Prestide Sdn Bhd yang memeterai MoA dengan Prestige Group of Companies UAE akan mengedarkan barangan Agromas Fama dan barangan usahawan Malaysia yang lain di rangkaian pasar raya Prestige Group. 

Dengan MoA itu, barangan Agromas Products Fama buat pertama kalinya akan dijual di rangkaian pasar raya Prestige Group di sekitar Dubai, Ras Al-Khaimah dan Ajman.

Mengenai MoA antara Taharah Group Sdn Bhd dengan LP Herbs Dubai, Shahid berkata ia melibatkan barangan cecair stevia. 

"Stevia adalah gantian berkesan untuk gula dan dimajukan oleh Sirim.

Memandangkan pertambahan pesakit diabetik di UAE, produk ini mempunyai potensi besar untuk dipasarkan di sini. 

"Perjanjian yang ditandatangani ini bernilai RM1.8 milion dan LP Herbs telah membuat bayaran pendahuluan untuk memastikan barangan ini dihantar secepat mungkin untuk dipasarkan di sini," katanya. 

PAMER BARANGAN BARU

Gulfood adalah peluang terbaik untuk usahawan Malaysia mempamerkan barangan baru mereka. 

Ia juga adalah peluang keemasan untuk mereka bertemu dengan rakan kongsi baru di samping menimba ilmu daripada pengeluar makanan dari negara lain. 

"Usahawan juga berpeluang mendapat maklumat mengenai kemajuan dalam permintaan pengguna serta keperluan pasaran secara menyeluruh," kata Shahid.

Menurut beliau, pasaran makanan UAE mempunyai prospek pertumbuhan tahunan secara purata sekitar 4-5 peratus. 

"Memandangkan 30 peratus semua import makanan dan perkhidmatan makanan ke UAE dieksport semula, UAE dan Dubai khususnya adalah pintu masuk ke pasaran lain di seluruh Teluk dan Asia Barat," kata Shahid. 

Dubai adalah sebuah daripada tujuh emiriah dalam Emiriah Arab Bersatu (UAE) di samping Abu Dhabi, Ajman, Fujairah, Ras Al-Khaimah, Sharjah dan Umm al-Quwain. 

Kira-kira 5,000 syarikat dari 120 negara termasuk Malaysia mengambil bahagiah dalam pameran tahun ini. -- Bernama 



Gulfood Dubai, Shahid Abu Bakar, MOA

Artikel Lain