KUALA LUMPUR: Samsung Malaysia Electronics (SME) telah memperkenalkan rangkaian sistem penghawa dingin yang baharu untuk membantu entiti perniagaan menjimatkan ruang, kos pemasangan dan penyelenggaraan. Pengarah Perniagaan Perusahaan Elektronik Pengguna, Hui Leong Whye berkata, model baharu DVM S 30HP dan Cassette 360 darjah membawa inovasi baharu ke dalam kejuruteraan penghawa dingin, pengalihudaraan dan sistem pemanas. "Pasaran penghawa dingin memerlukan inovasi dan teknologi yang baharu untuk bertindak balas dengan permintaan pelanggan bagi kecekapan tenaga serta kesenangan. Di sini, peranan Samsung bermula," katanya kepada pemberita di Pameran Sistem Penghawa Dingin Samsung 2016 di sini. Leong Whye berkata produk itu direka bagi membantu pelanggan menjalankan perniagaan mereka dengan lebih cekap dan produktif dengan meningkatkan kecekapan tenaga serta prestasi penyejukan termasuk penjimatan ruang. "Kami yakin dengan warisan, rekod prestasi dan keupayaan kami dalam mengenal pasti trend pasaran yang baru muncul, dengan ini, kami akan dapat memenuhi keperluan pengguna melalui inovasi," katanya. Penghawa dingin Cassette 360 darjah ini direka untuk diadunkan secara harmoni dalam mana-mana ruang dalaman, ia menawarkan 360 darjah aliran udara ke mana-mana sudut ruangan. Sementara itu, DVM S 30HP memberikan kapasiti besar sebanyak 30 kuasa kuda dengan 40 peratus penjimatan ruang dan 29 peratus lebih ringan berbanding model konvensional.-- Bernama