KOTA ISKANDAR: Kerajaan negeri Johor pada Khamis mengumumkan perancangannya untuk menjadikan negeri itu sebagai Hab Kecukupan Makanan. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pelaburan dalam bidang pertanian dan penternakan amat strategik dan berkepentingan nasional. “Kajian Khazanah Research Institute (KRI) 2016 menunjukkan negara membelanjakan sekitar RM45.4 bilion untuk mengimport makanan. Malaysia hanya memenuhi keperluan makanan bagi daging ayam, khinzir dan ikan. “Johor Corporation akan membangunkan rangkaian usahawan Bumiputera dalam rantaian halal bagi industri ayam pedaging berskala besar, melibatkan kos RM37.98 juta,” katanya ketika membentang Bajet Johor 2017, di sini. Mohamed Khaled turut mengumumkan program Pembangunan Agro Mix Farm yang akan dilaksanakan di Segamat bagi merangsang pembangunannya sebagai daerah pertanian utama. “Dengan peruntukan RM1.25 juta program pertanian bersepadu itu akan menjadi projek perintis dalam menyokong pengeluaran produk berasaskan pertanian, penternakan dan akuakultur. “Para peserta akan dilibatkan dalam projek tanaman makanan seperti sayur-sayuran, nanas, kelapa, jagung, belimbing serta projek perikanan tilapia merah dan ternakan rusa,” katanya.