KUANTAN: Pahang dijangka mampu meningkatkan pengeluaran hasil akuakultur di negeri ini daripada hanya 13,655 tan metrik pada tahun lepas kepada 16,000 tan metrik ikan pada tahun ini. Pengarah Jabatan Perikanan negeri Datuk Adnan Hussain berkata keyakinan itu berdasarkan keadaan cuaca pada tahun ini yang dilihat lebih baik berbanding sebelumnya sekali gus membolehan penternakan ikan sangkar dapat dijalankan tanpa sebarang masalah besar. "Biarpun menyedari bidang akuakultur ini mempunyai pelbagai cabaran seperti keadaan cuaca yang tidak menentu, namun semakin ramai rakyat di negeri ini menunjukkan minat untuk menceburi bidang penternakan ikan. "Keadaan ini turut menyumbang kepada peningkatan pengeluaran hasil akuakultur di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar dan Pameran Akuakultur Negeri Pahang 2016 di sini. Seminar yang dihadiri seramai 571 peserta itu diadakan antara lain bagi memberi pendedahan kepada penternak mengenai maklumat baharu dalam bidang akuakultur, cara pengurusan dan dasar kerajaan terhadap industri tersebut. Pada tahun lalu sahaja, katanya terdapat seramai 1,219 orang yang menceburi bidang penternakan ikan sangkar di Pahang dan jumlah itu meningkat sebanyak 347 orang pada tahun ini menjadikan jumlah terbaharu penternak ikan sangkar kini seramai 1,566 orang. "Saya amat berbangga dengan semangat penternak akuakultur kerana mereka tidak mudah mengalah meskipun berhadapan pelbagai cabaran dalam industri ini," katanya. Beliau berkata setakat ini, negeri Pahang masih mendahului dari segi pengeluaran hasil akuakultur berbanding Terengganu dan Kelantan lantas berharap ia mampu dikekalkan apatah lagi bidang ini memberi pulangan yang baik kepada penternak. - BERNAMA