KUALA LUMPUR: Samsung Malaysia Electronics (SME) Sdn Bhd telah mewujudkan suatu perkongsian dengan kedai dalam talian, Lazada Malaysia bagi menawarkan laman portal dalam portal yang pertama di Asia Tenggara. Ketua Perniagaan Pengguna Elektronik Samsung, Jimmy Tan Chee Wee berkata perkongsian itu akan membolehkan pengguna Malaysia membeli-belah dalam talian untuk peralatan rumah Samsung. "Hari ini, ramai pengguna sudah celik teknologi dan gemar membeli-belah dalam talian mengikut kelapangan mereka sendiri, perkongsian itu akan membantu mereka menikmati penjimatan dan keselesaan berbanding dengan pembelian secara konvensional," katanya. Tan berkata demikian pada kempen tawaran akhir tahun dalam talian "Unbox the Wonders of Home" yang dibuat bersempena dengan kempen Revolusi Lazada di sini, Khamis. Katanya, kerjasama itu akan memberikan SME peluang yang lebih besar bagi mencapai asas pelanggan yang lebih luas melalui portal dalam talian dan aplikasi telefon bimbit, termasuk perkongsian promosi terkini dan maklumat produk. "Lazada membantu menjejaki setiap kedai dalam portal terbabit mengikut poskod masing-masing bagi memastikan setiap satu kedai ini ditanda dan dikatalogkan secara geografi bagi disesuaikan dengan alamat pembeli. "Ini akan memandu mereka ke kedai SME yang terdekat dan secara automatik akan melayakkan mereka untuk penghantaran percuma dan terpantas," katanya. Tan berkata, produk yang ditawarkan dalam talian merangkumi telefon pintar, televisyen dan peti sejuk, harga dalam talian dan produk yang ditawarkan dalam kedai fizikal adalah sama.