KUALA LUMPUR: Bank Dunia berkata Malaysia kekal sebagai destinasi yang baik untuk pelabur global, dan akan terus menjadi pilihan, disebabkan dasar ekonominya yang terbuka, selain infrastruktur yang baik dan lokasinya yang strategik. Wakil Bank Dunia ke Malaysia/Pengurus Negara, Faris Hadad-Zervos berkata iklim pelaburan yang baik dan kos yang kompetitif juga menyediakan pelabur global persekitaran yang kondusif untuk perniagaan. "Malaysia sentiasa berapa dalam kekedudukan 20 teratas, dalam pelbagai ranking antarabangsa, termasuk Menjalankan Perniagaan Bank Dunia. "Ia juga mempunyai infrastruktur dan perhubungan yang sangat maju, ekonomi pelbagai, dasar kerajaan yang proaktif dan tenaga kerja yang mahir dalam pelbagai bahasa. "Semua ini menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang baik," katanya kepada Bernama di luar acara Persidangan Akauntan Antarabangsa MIA 2016 di sini, Jumaat. Faris berkata Malaysia telah menerima sejumlah besar pelaburan langsung asing (FDI) dan portfolio. Malaysia mencatatkan aliran masuk FDI bersih RM43.4 bilion pada 2015 Asia merupakan sumber utama FDI (64.7 peratus), diikuti Amerika (16.4 peratus) dan Eropah (14.1 peratus). Faris berkata sokongan itu menghapuskan persepsi salah yang terhadap Malaysia, dan pada masa yang sama menunjukkan asas ekonomi negara ini yang semakin baik. Beliau juga menegaskan bahawa dalam mana-mana negara di dunia, tumpuan perlu diberikan kepada gambaran yang lebih besar ke atas ekosistem tanpa prejudis ke atas kedudukan di Malaysia. "Jika anda melihat nombor, ternyata terdapat jumlah pelaburan yang besar masuk ke Malaysia. Malah, tahun lepas, pelaburan bersih adalah positif," katanya. Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategi dan Pemantauan) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata setiap usaha dibuat untuk menyediakan persekitaran yang terbuka dan telus untuk syarikat asing melabur. "Mereka ketahui apa yang Malaysia tawarkan dari segi persekitaran perdagangan. "Oleh itu, ia memudahkan mereka. Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia juga dapat memastikan penyalurkan maklumat yang diperlukan untuk pelabur berpotensi," katanya.-- Bernama