suria

LBS Bina-GDV Akan Lancar 13 Projek Baharu Cecah RM2.35 Bilion Tahun Ini

Pengarah Urusan LBS Bina Group Berhad, Tan Sri Lim Hock San (tengah) meneliti buku laporan tahunan syarikat pada majlis taklimat media Hala Tuju 2017 pada Khamis. Turut hadir Pengarah Eksekutif, Datuk Wira Joey Lim Hock Guan (kiri) dan Datuk Cynthia Lim.

KUALA LUMPUR: LBS Bina Group Bhd akan melancarkan 13 projek baharu tahun ini dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM2.35 bilion bagi mendirikan kira-kira 5,543 unit rumah di seluruh negara.

Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri Lim Hock San berkata, dengan pelancaran itu, LBS Bina menyasarkan jualan RM1.5 bilion tahun ini berbanding RM1.2 bilion pada 2016.

"Kami sedang merancang projek di Ijok (Selangor), Bandar Saujana Putra dan juga Kulai (Johor) bagi menyumbang kepada sasaran jualan itu," katanya kepada pemberita di sini mengenai prospek kumpulan tersebut pada 2017.

Menurutnya, kira-kira 70 peratus atau 4,284 unit baharu terbabit, kebanyakannya di Lembah Klang tahun ini, akan mengandungi rumah mampu milik berharga di bawah RM500,000.

Kumpulan itu juga bersedia untuk menyerahkan kunci kepada pemilik 1,127 unit rumah dengan GDV berjumlah RM436 juta.

Bagi 2016, Lim berkata, kira-kira 70 peratus atau 1,366 unit daripada keseluruhan jualan kumpulan terdiri daripada rumah berharga di bawah RM500,000 manakala 87 peratus pembangunannya disiapkan di Lembah Klang dan selebihnya di  Ipoh, Pahang dan Johor.

Mengenai prospek industri hartanah, beliau menjangka pasaran akan pulih pada suku ketiga atau keempat tahun ini, dipacu kemungkinan aliran masuk dana asing, terutama dari China.

"Perdana Menteri, (Datuk Seri Najib Tun Razak) baru-baru ini pergi ke China dan menandatangani beberapa perjanjian dengan pelabur di sana yang mungkin akan membawa lebih banyak pelaburan ke Malaysia," katanya.

Menurut beliau, perjanjian itu dijangka membuahkan hasil pada suku ketiga tahun ini, yang secara tidak langsung akan merangsang pasaran hartanah.

Selain China, Lim berkata, penyusutan ringgit berbanding dolar US juga akan menarik lebih ramai pembeli asing untuk melabur dalam industri hartanah di Malaysia.-- Bernama

LBS Bina, GDV

Artikel Sebelum

Artikel Lain