KUALA LUMPUR: Tourism Malaysia dan AirAsia Bhd memeterai satu perjanjian dua tahun melibatkan kerjasama kedua-dua pihak bagi tujuan promosi pelancongan di Malaysia menerusi usaha pengiklanan, aktiviti publisiti dan kempen berkaitan. "Kami menyasarkan untuk mewujudkan lebih banyak kesedaran dan publisiti mengenai Malaysia sebagai destinasi santai dan perniagaan menerusi kerjasama ini, sekali gus dapat memacu kedatangan pelancong di negara ini," kata Ketua Komersial AirAsia, Spencer Lee dalam satu kenyataan di sini, Rabu. Usaha itu juga sejajar dengan matlamat negara sepertimana pelaksanaan visa elektronik (e-visa) untuk China dan India baru-baru ini bagi kemudahan serta kelancaran kemasukan pelancong ke Malaysia. Perjanjian yang dimeterai di Shanghai, China, membabitkan skop seperti penganjuran kunjungan mesra untuk pengguna, media, perdagangan dan agensi pelancongan ke Malaysia, perancangan pembangunan pelancongan dan pengangkutan udara bagi mempertingkatkan aspek kesalinghubungan. Aspek lain termasuk perkongsian maklumat pasaran dan bantuan bagi pembangunan sektor pelancongan serta mengadakan acara jelajah bersama kedua-dua pihak bagi pasaran Malaysia kepada rakan dagang masing-masing. Tourism Malaysia dan AirAsia akan menumpukan usaha pembangunan aktiviti promosi Malaysia ke 10 negara Asean selain China, Jepun, Korea Selatan, India, Sri Lanka, Bangladesh, Nepal, Maldives, Arab Saudi, Iran, Australia dan New Zealand. Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Promosi) Tourism Malaysia, Datuk Seri Abdul Khani Daud pula berkata : "Kesalinghubungan ini merupakan nadi pelancongan dan kerjasama antara Tourism Malaysia ini melibatkan penggabungan usaha pemasaran bagi meningkatkan tahap kesedaran serta penjenamaan Malaysia sebagai destinasi pelancongan. "Kami menyasarkan dapat melihat permintaan lebih kukuh serta keyakinan terhadap Malaysia sebagai destinasi percutian yang ideal." Bersempena jalinan kerjasama itu, AirAsia kini menawarkan diskaun khas lima peratus bagi promosi sedia khusus untuk pemegang kad UnionPay. Diskaun yang boleh ditempah mulai sekarang sehingga 4 Julai, 2017, adalah bagi tempoh perjalanan pada 5 Mei, 2017 hingga 5 Jun, 2018. Tempahan itu boleh dibuat menerusi airasia.com atau aplikasi mudah alih AirAsia bagi gajet iPhone atau Android.-- Bernama