KUALA LUMPUR: Berita baik buat penggemar swafoto, telefon pintar vivo V5s yang baru dilancarkan merupakan gajet paling sesuai untuk merakam gambar mereka. Pengurus Jenama Vivo Technologies Sdn Bhd Simeon Sia berkata gajet itu, yang dilengkapi kamera hadapan beresolusi 20 megapiksel (MP) dengan ciri pencahayaan ''Softlight Camera'' hasil kerjasama dengan Sony, menjanjikan pengalaman swafoto menarik dengan paparan imej dan warna lebih jelas. "V5s menawarkan pengalaman swafoto yang menarik tidak kira dalam suasana siang atau malam... inilah pengalaman yang kami mahu bakal pembeli nikmati. "Pada harga RM1,299 seunit, ia didatangkan dalam tiga warna berbeza - ''crown gold'', ''rose gold'' dan hitam. "Kami juga mahu pembeli maklum bahawa ini merupakan produk terbaik bagi setiap nilai ringgit yang dibelanjakan,"'' katanya pada sidang media bersempena acara ''vivo Super Day, Super Experience'''' dengan ikon swafoto V5s, Joyce Chu, di sini, Khamis. Dengan pelancaran V5s, Sia berkata Vivo Technologies Sdn Bhd menyasarkan untuk meningkatkan pasaran telefon pintar syarikat itu, yang ketika ini mencecah 12 peratus.-- Bernama