PETALING JAYA: Malaysia Aviation Group Bhd (MAG) iaitu pemilik syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines (MAS) telah membuat beberapa pelantikan penting untuk menerajui syarikat baru yang akan menguruskan jemaah haji dan umrah mulai tahun depan. Syarikat baru itu yang dinamakan Project Hope akan diterajui oleh seorang ketua pegawai eksekutif yang masih belum dilantik. Begitu juga dengan anggota lembaga pengarah yang pelantikan mereka akan diumumkan sedikit masa lagi. Buat sementara waktu, Project Hope akan diterajui oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAG, Peter Bellew dan Pengerusi MAG, Tan Sri Md Nor Yusof. Bagaimanapun sebagai permulaan, MAG dalam satu memo dalaman telah mengumumkan pelantikan Yazid Mohamed sebagai ketua komersial Project Hope berkuatkuasa 1 Mei lalu. Beliau sebelum ini menerajui operasi carter MAS. Yang turut menyertai beliau ialah Muhammad Najmi Mansor sebagai ketua pegawai kewangan dan Zuraidah Mat Dol yang akan mengetuai bahagian Sumber Manusia. Lain-lain jawatan penting dalam bahagian operasi penerbangan, operasi kawasan, latihan dan perkhidmatan teknikal juga telah dilantik. Operasi pasukan baru ini akan ditempatkan di Zon Sokongan Selatan Terminal KLIA Sepang. Project Hope ini pada asasnya dibentuk untuk menyerap masuk enam pesawat super jumbo MAS iaitu model Airbus A380 yang dianggap sebagai lebihan dan terlalu besar untuk dikendalikan bagi destinasi sederhana jauh. Pesawat-pesawat gergasi ini dahulu digunakan untuk destinasi KL-London-KL. MAG pada mulanya mahu melupuskan pesawat ini tetapi membatalkan hasrat tersebut ekoran keadaan pasaran yang tidak memberansangkan. Ini adalah kerana, pesawat gergasi seperti A380 sejak akhir-akhir ini tidak lagi menjadi pilihan syarikat-syarikat penerbangan global yang kini lebih cenderung kepada pesawat yang sederhana besar yang mudah untuk dipenuhkan dan lebih murah untuk dikendalikan. Selain Project Hope, MAG mengendalikan MAS, Firefly, MASwings dan MAS Kargo. Sepertimana Project Hope, MAS Kargo juga kini dikendalikan sebagai sebuah entiti berasingan. Dalam temuramah dengan agensi berita nasional Bernama baru-baru ini Bellew menyatakan Project Hope bukan sahaja akan menawarkan perkhidmatan membawa jemaah haji dan umrah dari Malaysia sahaja tetapi juga dari serata dunia mulai 2018 atau selewat-lewatnya awal tahun 2019. Konfigurasi tempat duduk di dalam pesawat A380 ini akan turut diubahsuai untuk keperluan jemaah haji atau umrah. Pada Mac lalu, Kerajaan Arab Saudi bersetuju untuk menambah kuota haji kepada Malaysia dari 27,900 kepada 30,200 mulai musim haji tahun ini.