suria

Co-opBank Persatuan Sasar Lengkapkan Industri Perbankan

KUALA LUMPUR: Koperasi Co-opbank Persatuan Malaysia Bhd (Co-opbank Persatuan) yang mempunyai 20 cawangan telah menetapkan strategi untuk lebih dikenali lagi dengan mengketengahkan peranannya sebagai bank koperasi bagi melengkapkan institusi kewangan lain dalam industri perbankan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya yang baru dilantik, Mohd Nor Abd Razak berkata Co-opbank Persatuan sedang dalam usaha mentransformasikan keupayaan modal insannya daripada sebuah koperasi menjadi sebuah institusi kewangan.

“Saya melihat budaya kerja sebilangan besar staf (kakitangan) masih lagi dalam suasana koperasi dan cabaran utama saya adalah untuk mengubah keadaan ini dan cara kerja yang lebih professional,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif baru-baru ini.

Mohd Nor berkata transformasi ini akan dirumus semula bagi memastikan pelan strategik lima tahunnya dapat dicapai menjelang 2020.

“Macam mana untuk membawa Co-opbank Persatuan ke peringkat yang lebih tinggi adalah untuk mewujudkan pelan transformasi untuk kakitangan atau modal insan kami,” katanya sambil menambah pengurusan akan membawa masuk tenaga kerja baharu daripada institusi kewangan untuk memantapkan kedudukannya.

Sejarah awal bank koperasi berpangkalan di Pulau Pinang itu bermula dengan penubuhannya pada 1950 sebagai Province Wellesley Co-­operative Banking Union Ltd sebelum menukar namanya kepada Bank Persatuan pada 1995 dan kepada nama sekarang pada 2014.

Co-opbank Persatuan yang ditukarkan menjadi sebuah bank daripada koperasi pada September 2014, masih dianggap sebagai sangat baharu dan justeru itu, modal yang besar diperlukan untuk mengukuhkan lagi dan mengembangkan bank itu.

Mohd Nor mendedahkan bank itu merancang mengumpulkan dana tambahan RM300 juta selain RM350 juta yang ada sekarang bagi membiayai modal kerja pada masa depan dan ini akan dilakukan menerusi terbitan saham keutamaan boleh tukar boleh tebus Islam  (iRCPS).

“Kita merupakan koperasi yang pertama di Malaysia mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk menerbitkan saham iRCPS ini dan kita sebenarnya telah membuat roadshow (jerayawara) ke seluruh negara.

Alhamdulillah maklum balas yang kita dapat sekarang bagus, cuma kita sekarang menunggu langganan yang sebenar,” katanya.

Pada masa depan, Mohd Nor berkata, Co-opbank Persatuan juga merancang memulakan perbankan elektronik dengan juga menyediakan perkhidmatan kad debit.

Artikel Sebelum

BDB Tembusi Pasaran Perak

Artikel Berikut

Artikel Lain