KUALA LUMPUR: Bina Darulaman Bhd (BDB), syarikat pemaju perumahan yang berpusat di Kedah, bakal membangunkan projek pembangunan mewah Puncak Harmoni di Kuala Kangsar, Perak dengan nilai pembangunan kasar (NPK) sebanyak RM44 juta. Projek perumahan yang akan dibangunkan oleh anak syarikat BDB, Kedah Holdings Sdn Bhd itu akan dilaksanakan di kawasan seluas 3.4 hektar merangkumi pembinaan 84 unit rumah dalam tempoh 24 bulan. Pengarah Urusannya, Datuk Izham Yusoff menyifatkan projek perumahan itu memaparkan keyakinan BDB merencanakan projek di luar Kedah terutamanya di Kuala Kangsar berikutan projek perumahan di Perak yang banyak bertumpu di kawasan Lembah Kinta. “Kita memilih Kuala Kangsar itu dari segi harga tanah dan rumah yang masih di peringkat mampu milik. Kita juga mengambil pendekatan berbeza dengan mencari kawasan baharu yang masih banyak peluang untuk dibangunkan seperti ini,” katanya dalam satu kenyataan, Isnin. Projek perumahan Pucak Harmoni itu menawarkan tiga jenis kediaman seperti rumah teres dua tingkat, unit berkembar dua tingkat dan banglo dua tingkat. Mengulas lanjut, Izham berkata BDB juga berhasrat menjalin kerjasama dengan kerajaan negeri dan juga Persekutuan dalam usaha membangunkan projek perumahan mampu milik di Perak. “BDB tidak mahu Puncak Harmoni ini menjadi satu-satunya projek di negeri Perak dan (berharap) dapat menjalankan projek perumahan di tempat lain di negeri ini (Perak) pada masa akan datang,” katanya.-- Bernama