KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan Bajet 2018 bukan bersifat populis kerana akan terus menumpukan aspek kesejahteraan rakyat serta keperluan pertumbuhan ekonomi negara. Menurut Perdana Menteri, sektor-sektor tertentu yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, Pendapatan Negara Kasar dan kesejahteraan rakyat akan diberi keutamaan dalam bajet berkenaan. "Ia (Bajet 2018) tidak boleh menjadi satu belanjawan populis kerana tindakan itu adalah tidak bertanggungjawab dari segi fiskal. Kita perlu berhemat tetapi pada masa sama, terdapat program tertentu yang menekankan aspek kesejahteraan rakyat yang perlu kita masukkan dalam bajet," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di sini. Mengulas selanjutnya, Najib berkata Bajet 2018 itu juga dijangka seimbang sejajar usaha kerajaan untuk terus melaksanakan perbelanjaan secara berhemat dan pada masa sama dapat merangsang pertumbuhan ekonomi. Perdana Menteri dijadual membentangkan Bajet 2018 di Parlimen pada 27 Oktober ini.