suria

Dulu Juruterbang, Kini Usahawan Tani

SERDANG: Siapa sangka seorang pemuda yang pada satu ketika terbang tinggi di langit biru kini mengerjakan tanah dan bergelar usahawan muda sektor pertanian.

Ramana K. Naidu, 27,  yang pernah menjadi juruterbang  berpangkalan di Bangkok, Thailand kini memandu jentera penuai  di ladang jagungnya yang berkeluasan hampir 60 hektar di Kuala Muda, Kedah.

Bercakap kepada Bernama di sini, anak muda itu berkata  beliau meninggalkan kerjaya sebagai juruterbang pada 2012 berikutan  krisis di negara jiran berkenaan dan melibatkan diri dalam sektor pertanian kerana minat.

Namun, perolehan pertama sebanyak RM14,000 hasil jualan kacang panjang menjadikannya semakin bersemangat dan mendorong anak jati Kedah itu  ke India, China dan Taiwan bagi mempelajari teknologi pertanian.

“Saya mula menggunakan teknologi seperti ‘corn planter', ‘cultivator machine' dan dron untuk membaja selain mencipta modul sendiri bagi meningkatkan kualiti hasil pertanian saya dan ia membuahkan hasil,” katanya yang merupakan antara peserta Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2017  di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang di sini.

Menurut beliau  modulnya kini digunakan di beberapa negeri seperti Kelantan, Pahang, Johor dan negeri kelahirannya sendiri.

Ramana antara yang dipuji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapannya semasa  merasmikan HPPNK2017 pada Khamis.

“Saya sangat gembira dan berasa dihargai ketika perdana menteri memuji saya. Saya rasa saya perlu lakukan lebih banyak lagi supaya terus jadi sumber inspirasi kepada golongan belia,” katanya yang kini mengusahakan projek jagung bijirin.

Ramana yang juga perunding Lembaga Pertubuhan Peladang, berkata projek  perintis tanaman jagung bijirinnya  memberi pulangan memuaskan memandangkan bahan itu yang digunakan sebagai makanan ayam mendapat permintaan tinggi dan buat masa ini kerajaan  membelanjakan kira-kira RM3.1 bilion untuk mengimport empat juta tan jagung bijirin setiap tahun.

Katanya usaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk memperluas tanaman jagung bijirin sebagai  makanan haiwan ternakan dalam usaha mengurangkan kebergantungan pada import membuka peluang besar kepada usahawan tani tempatan.

Beliau juga menyeru generasi muda agar tidak silu untuk menceburi bidang pertanian kerana sektor itu mampu menjana pendapatan yang tinggi.

Bertemakan ‘Makanan Kita, Masa Depan Kita', HPPNK berlangsung selama empat hari sehingga esok, menampilkan 600 gerai pameran dan jualan selain himpunan pelbagai program dalam bidang pertanian dan agromakanan.

Artikel Berikut

Artikel Lain