suria

Cukuplah kontroversi! Sophia Albarakbah tak mahu toleh belakang lagi, murah rezeki banyak tawaran lakonan

Sophia bawa kelainan dalam filem Jiwa 8 Belas kerana perlu bermain dengan bawa emosi.

SERING terpalit kontroversi panas sejak awal kemunculannya dalam industri seni, pelakon Sophia Albarakbah tetap meluahkan rasa syukur kerana rezekinya dalam bidang lakonan tidak pernah putus.

Percaya rezekinya sebagai pelakon, Sophia, 30, memberitahu dia mendapat kepercayaan pengarah dan penerbit untuk terus membintangi beberapa drama dan filem sepanjang tahun ini.

"Kini, bukannya masa untuk saya menoleh ke belakang lagi. Saya mahu fokus untuk mengukuhkan nama dalam bidang lakonan.

"Saya bersyukur agenda seni padat sehingga hujung tahun ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Dituduh menipu putar belit, Sophia Albarakbah kekal tenang... “Biarlah orang buat kita”

ARTIKEL BERKAITAN: Sophia Albarakbah cool kena kecam, percaya pelaku akan tanggung akibat - “Biar dia tanggung dosa”

"Pada masa sama, saya juga ada empat filem yang akan ditayangkan di pawagam pada tahun ini. Antaranya, filem Jiwa 8 Belas,” katanya.

Bersempena kedatangan tahun 2024, Sophia berkata dia enggan lagi terpalit dengan sebarang gosip dan kontroversi.

"Saya tidak mahu peminat kenal saya kerana pelbagai cerita kontroversi dan bukannya bakat lakonan dipertaruhkan.

"Cukup-cukuplah kontroversi yang pernah melanda kerana saya tidak mahu kisah silam diungkit lagi," katanya.

sophia 3

Sophia mahu cabar diri bawa pelbagai watak lakonan.

Bercakap mengenai karier lakonan, Sophia bakal muncul dalam filem baharu berjudul Jiwa 8 Belas yang merupakan filem pertama lakonannya sejak bertapak dalam industri seni.

Kata Sophia, dia melakonkan watak heroin bernama Fatien dalam filem terbitan White Merpati Entertainment Sdn Bhd itu.

"Saya dapat tawaran berlakon dalam filem Jiwa 8 Belas ini menerusi proses uji bakat pada penghujung 2018.

"Saya tiada asas dalam bidang lakonan dan lakonan memang agak ‘kayu’ ketika itu," katanya.

sophia 2

Jiwa 8 Belas filem pertama lakonan Sophia bakal ditayangkan di pawagam.

Ditanya cabaran berlakon dalam dilem berkenaan, Sophia berkata dia mengalami kecederaan dan kakinya lebam-lebam ketika menjayakan babak diculik penjahat yang mahu ‘menjualnya‘ dalam filem itu.

"Saya perlu melakonkan babak melarikan diri dalam hutan dan sungai tanpa memakai kasut ketika dikejar penjahat.

"Selain itu, ada juga babak muka saya dicelup dengan air kotor dan berlumpur oleh penjahat," katanya.

Selain Sophia, Filem Jiwa 8 Belas arahan S Baldev Singh ini turut menampilkan pelakon berbakat besar seperti Shah Hazvee, Izuan Ramli, Ikhram Juhari, Kanda Khairul, A Galak, Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Fauziah Nawi, Zila Bakarin, Aman Graseka, Akim Nordin, Faha Azhar, Arif Mex dan Acap S.

Jiwa 8 Belas berkisarkan jiwa remaja ini akan ditayangkan di pawagam seluruh tanah air bermula 18 Januari 2024.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain