IMPIAN penyanyi Aisha Retno untuk mengadakan persembahan solo pertamanya pada 16 November ini musnah apabila pihak penganjur membatalkan konsert Aisha Retno Malam Sutera. Pihak penganjur iaitu Kharisma Music International menjelaskan pembatalan itu disebabkan jualan tiket konsert yang sepatutnya berlangsung di Zepp Kuala Lumpur itu tidak mendapat sambutan pembeli. “Kami dengan dukacita mengumumkan konsert Aisha Retno Malam Sutera yang dijadualkan berlangsung pada 16 November 2024 di Zepp Kuala Lumpur terpaksa dibatalkan atas sebab jualan tiket yang rendah. Konsert Aisha dibatalkan selepas jualan tiket yang rendah. “Pihak pengurusan artis juga tidak bercadang untuk menangguhkan konsert tersebut. “Kami memohon maaf di atas segala kesulitan yang berlaku. Keputusan ini bukanlah dibuat tanpa berfikir panjang. Terima kasih kerana memahami,” kata kenyataan dikeluarkan syarikat berkenaan pada Sabtu. Dalam pada itu, Kharisma Music International memberitahu peminat yang sudah membeli tiket akan menerima e-mel daripada Ticket2u untuk proses pemulangan semula wang yang mengambil masa tujuh hingga 14 hari. ARTIKEL BERKAITAN: Nama mula di puncak... Aisha Retno kecewa ada rakan industri mula jauhkan diri, tunjuk sikap dengki ARTIKEL BERKAITAN: Bukan persenda adat dan budaya orang Kelantan, Aisha Retno janji lebih cakna - “Kawe ado daroh Kelate” Sementara itu, Aisha atau Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam , 24, memberitahu akan menceritakan pembatalan konsert pertamanya tidak lama lagi. “Nanti saya akan ceritakan semuanya. Jalan terus walaupun sakit,” ujarnya menerusi hantaran di Instastory miliknya. Usaha mStar mendapatkan maklum balas Aisha mengenai pembatalan konsert berkenaan gagal selepas panggilan dan mesej dihantar tidak dibalas penyanyi tersebut. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!