PENYANYI terkenal Chris Brown dijatuhi hukuman penjara selama 131 hari oleh Mahkamah Los Angeles selepas mengakui melanggar tempoh percubaan atas pelbagai kesalahan yang dikenakan terhadapnya. Daily Mail melaporkan Hakim James R. Brandlin menjatuhkan hukuman penjara selama 365 hari terhadap Chris namun ia dikurangkan selepas mengambil kira penyanyi itu telah memasuki pusat pemulihan dan penjara selama 234 hari sebelum ini. Pemenang anugerah Grammy itu ditahan pihak berkuasa sejak pertengahan Mac lalu selepas dia ditahan kerana melanggar perintah mahkamah untuk menjalani rawatan di pusat pemulihan. Malah dia turut gagal menghadiri sesi kaunseling dan ujian dadah secara rawak sebanyak tiga kali seminggu terhadapnya. Chris juga turut berhadapan dengan tuduhan mencederakan seorang lelaki dalam satu pergaduhan di sebuah hotel di Washington pada tahun lalu. Dalam pada itu, Chris juga masih dalam pemerhatian selepas mengaku bersalah mendatangkan kecederaan terhadap penyanyi yang juga bekas kekasihnya Rihanna pada tahun 2009.