RAJA pop terkenal dunia, Michael Jackson semasa hayatnya sememangnya dikenali sebagai seorang selebriti yang boros dan gemar membelanjakan wangnya untuk membeli barangan mewah. Malah ketiga-tiga anak penyanyi itu Prince, Paris dan Blanket Jackson turut dilimpahkan dengan kemewahan dan biarpun bapa mereka telah meninggal dunia lima tahun lalu namun gaya hidup mereka tetap tidak berubah. Portal Daily Mail melaporkan, ruangan Page Six mendedahkan anak-anak Michael membelanjakan wang sebanyak RM24 juta (USD8 juta) setahun untuk keperluan mereka. Itu termasuk yuran tahunan persekolahan Prince sebanyak RM90,000 (USD30,000) sebulan dan itu tidak termasuk dua lagi adiknya yang turut belajar di sekolah berasrama yang memerlukan pembiayaian tinggi. Anak ketiga Michael, Blanket juga memerlukan peruntukan tinggi termasuk bayaran kelas karate bersama jurulatih profesional yang bernilai RM600 (USD200) sejam. Malah baru-baru ini, adik-beradik itu membelanjakan RM1 juta (USD350,000) untuk bercuti di Las Vegas dan Hawaii bersama ahli keluarga mereka yang lain termasuk pengawal keselamatan.