PENYANYI Chris Brown menjadi perhatian beberapa stesen televisyen yang berminat untuk menerbitkan sebuah filem dokumentari berkisar kehidupan peribadinya yang penuh kontroversi. Terbaharu, saluran kabel Black Entertainment Television (BET) mahu memfokuskan kepada sikap liar, panas baran dan kontroversi yang melanda penyanyi itu sehingga menyebabkan dia menjadi perhatian pihak media dan peminat. Malah BET membuat satu tinjauan penonton dan rata-rata berpendapat isu yang ingin diketengahkan dalam filem dokumentari itu menarik dan akan mendapat perhatian peminat penyanyi itu. "Pelbagai saluran televisyen yang ingin mendapatkan kontrak tersebut namun sehingga saat ini masih belum ada kata putus daripada Chris tentang perkara itu. "Banyak perkara yang perlu diberikan perhatian terlebih dahulu terutamanya kesan terhadap kerjayanya apabila filem dokumentari itu ditayangkan," kata sumber terdekat penyanyi itu.