PIHAK pengurusan Jang Woo Hyuk iaitu WH Entertainment tidak mengetahui tentang kesahihan penyanyi rap itu yang dilaporkan sedang menjalinkan hubungan cinta dengan pelakon berasal dari Jepun, Yuko Fueki. Laman Soompi melaporkan, pihak pengurusan Woo Hyuk tidak dapat mengesahkan mengenai perkara itu kerana hanya mendapat khabar tersebut menerusi laporan media. "Kami sendiri mendengar berita berkenaan menerusi laporan media. Kami harus berbincang dengan Woo Hyuk terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan. "Dia pula sedang sibuk buat masa ini jadi agak sukar untuk bertemu dengannya," kata wakil syarikat tersebut. Dalam pada itu, Woo Hyuk dan Yuko dikatakan telah menjalinkan hubungan cinta selama beberapa tahun namun berjaya merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan umum. Perkara itu terbongkar apabila kelibat mereka berjaya dirakamkan jurugambar ketika Yuko datang ke Korea untuk bertemu dengan teman lelakinya. "Yuko kerap datang ke Korea dan mereka sangat terbuka dalam menunjukkan perasaan masing-masing sehingga berjaya dihidu oleh media," kata sumber.