suria

Rumah Tangga Mariah Carey & Nick Cannon Bermasalah, Tinggal Berasingan

Berita perpisahan Nick dan Mariah mengejutkan peminat kerana pasangan itu kelihatan bahagia sepanjang enam tahun berkahwin.

SUAMI kepada penyanyi terkenal, Mariah Carey iaitu Nick Cannon mengesahkan mereka sudah tidak tinggal sebumbung sejak beberapa bulan lalu sekali gus mengiakan desas-desus mengenai hubungan mereka.

Huffington Post melaporkan Nick, 33, turut mengakui perkahwinan mereka yang dibina sejak 2008 itu sedang dilanda masalah sehingga menyebabkan mereka memilih untuk berpisah.

Bagaimanapun Nick menafikan keretakan rumah tangga mereka disebabkan pihak ketiga seperti mana dilaporkan media dan memberitahu tumpuannya kini adalah untuk anak mereka iaitu Moroccan dan Monroe yang kini berusia tiga tahun.

Laman gosip TMZ sebelum ini melaporkan selain sudah berpisah pasangan berkenaan telah pun berjumpa dengan peguam masing-masing dan urusan penceraian mereka hampir selesai.

Terdahulu, Mariah, 44, dan Nick dilaporkan tidak tinggal bersama sejak Mei lalu dan hanya bertemu apabila pengacara program America's Got Talent itu melawat anak-anaknya.

Mariah kali terakhir memuat naik gambarnya bersama Nick dan anak-anak mereka pada 16 Jun lalu bersempena sambutan Hari Bapa.

Berita keretakan rumah tangga mereka mula bertiup kencang sejak awal tahun ini apabila Mariah dikatakan berang dengan sikap Nick yang mendedahkan senarai wanita yang pernah ditidurinya sebelum berkahwin dengannya.

Sumber terdekat pasangan itu memberitahu, Mariah berasa cukup malu dengan pendedahan suaminya itu dan mereka sering bertengkar sejak itu.

"Mariah mempunyai reputasi yang sangat besar dalam industri dan sebelum ini dia jarang bercakap mengenai soal peribadi secara umum dan tindakan Nick membuatkan dia cukup tertekan," kata sumber itu.

Malah Mariah dilaporkan mengarahkan Nick supaya membatalkan sebarang kejutan bersempena sambutan ulang tahun perkahwinan mereka pada 30 April lalu.

Keadaan bertambah rumit apabila Mariah enggan berpindah ke Los Angeles bersama-sama suaminya dan berkeras untuk menetap di New York.

Mariah dan Nick berkahwin selepas enam minggu bercinta pada 2008.


Pasangan itu baru-baru ini menjual rumah agam mereka di Bel-Air Los Angeles dengan harga RM30 juta (USD10 juta) dan tindakan itu dibuat kerana mereka ingin bercerai.

Jurucakap Mariah ketika dihubungi memberitahu pihaknya tidak mencampuri sebarang urusan peribadi pasangan tersebut.

Mariah bakal memulakan konsert jelajah dunianya pada Oktober depan dan penyanyi itu bakal mengadakan persembahan di Stadium Merdeka Kuala Lumpur pada 22 Oktober depan.
Mariah Carey, Nick Cannon.

Artikel Lain