AKTRES Lee Min Jung rupa-rupanya cukup tertekan dengan skandal yang menimpa suaminya, aktor, Lee Byung Hun. Menurut laporan Allkpop, wanita itu telah pun meninggalkan rumah keluarga Byung Hun yang terletak di Gwangju untuk pulang ke pangkuan kedua-dua orang tuanya di Gangnam. "Selepas pulang dari Paris beberapa hari lalu, Min Jung sempat tinggal untuk beberapa hari di rumah Byung Hun, namun pada Khamis lalu, dia telah ke Gangnam, rumah ibu bapanya," kata sumber. Tambah sumber itu lagi, Min Jung benar-benar runsing dengan isu suaminya itu dan mahu menenangkan fikirannya. Bagaimanapun, pihak pengurusan Min Jung, S Team Entertainment menolak untuk memberikan sebarang komen lanjut berhubung keadaan artisnya itu. Minggu lalu, Byung Hun dilaporkan telah diperas ugut oleh salah seorang anggota Glam, Dahee dan model Lee Ji Yeon. Berhubung kes itu, isu lain pula yang terbongkar kerana rupa-rupanya dua wanita yang memeras ugut Byung Hun itu adalah skandalnya. Mereka menjalinkan hubungan selama tiga bulan sebelum aktor itu diugut.